Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, Datuk Seri Ahmad Hamzah (empat kanan) menyerahkan bantuan kepada seorang penerima pada Program Agropreneur Muda di Dewan Terbuka Laman Sejahtera Sungai Koyan, Lipis.

RM1.49 JUTA DIPERUNTUK UNTUK BANTU 77 AGROPRENEUR MUDA DI PAHANG TAHUN INI

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim

LIPIS, 19 DISEMBER 2020 : Sebanyak RM1.49 juta telah diperuntukkan untuk membantu 77 orang agropreneur muda yang memohon Program Agropreneur Muda di negeri ini yang merangkumi semua bidang di bawah agromakanan iaitu tanaman, perikanan, ternakan, industri makanan dan pemasaran tahun ini.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata sejak 2016, seramai 408 orang peserta program ini di Pahang melalui Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) telah menerima geran sebanyak RM7.66 juta.

“Setiap peserta diberi bantuan maksima sebanyak RM20,000 dalam bentuk barangan dan mereka yang ingin mengembangkan lagi program mereka akan terus dibantu melalui pembiayaan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) sebanyak RM50,000 dan juga pinjaman dari Agrobank sehingga RM200,000.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, Datuk Seri Ahmad Hamzah.

“Mereka juga akan diberi bantuan berupa cara pengurusan kebun dan perniagaan yang betul bukan sahaja bantuan kewangan kerana kita mahu hasil tanaman dan ternakan yang dijalankan mereka berkualiti dan berjaya dipasarkan ke luar negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan program jelajah berkenaan di Dewan Terbuka Laman Sejahtera Sungai Koyan, di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar merangkap Ahli Parlimen Lipis, YB Dato’ Sri Abdul Rahman Mohamad; dan Ahli Perlimen Cameron Highland, YB Tuan Ramli Dato’ Mohd Nor yang mewakili YAB Menteri Besar Pahang.

Beliau kemudiannya melakukan walkabout ke tapak projek fertigasi tanaman sayur Kampung Sanglang, Penjom dan tapak projek tanaman nanas MD2 di Batu 13 Jalan Lipis-Benta di sini.

Beliau berkata Program Agropreneur Muda ini merupakan salah satu inisiatif Kerajaan dalam menarik penglibatan golongan muda untuk menceburi sektor pertanian di negara ini.

“Sehingga kini, penglibatan golongan muda dalam sektor pertanian hanya 240,000 orang iaitu bersamaan dengan 15 peratus daripada jumlah petani di Malaysia.

“Ini kerana, golongan ini beranggapan sektor pertanian tidak memberikan pulangan yang lumayan seperti sektor lain. Tanggapan ini salah, kerana dengan penggunaan teknologi terkini dan moden, hasil pengeluaran dapat ditingkatkan dengan lebih baik dan cepat sekaligus memberi pulangan dan pendapatan yang tinggi.

“Maka, Kementerian amat berharap agar penglibatan golongan muda ini dalam sektor pertanian dapat ditingkatkan. Antara inisiatif yang sedang dilaksanakan oleh pihak Kementerian adalah Program Agropreneur Muda,” katanya.

Beliau berkata program ini bertujuan untuk membantu dan menggalakkan penglibatan golongan muda di dalam sektor agromakanan seperti tanaman, ternakan, perikanan, industri makanan dan agropelancongan.

“Saya amat berharap agar semua golongan muda di negeri Pahang akan mengambil peluang dan manfaat daripada Program Agropreneur Muda ini. Sekiranya ingin mendapatkan maklumat lebih lanjut berhubung perkara ini, boleh pergi ke pejabat jabatan atau agensi di bawah Kementerian di peringkat daerah untuk rujukan dan bimbingan.

“Kepada golongan muda, ayuh bersama melibatkan diri dalam sektor agromakanan bagi menjamin kesinambungan dan jaminan bekalan makanan negara. Sekali lagi saya menyeru kepada semua golongan muda, rebutlah peluang melalui bantuan yang disediakan ini,” katanya. -PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

 1,131 total views,  12 views today

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download