Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), YBRS. Dr. Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek (kiri) bersama Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato' Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff ketika Taklimat Dan Perbincangan Dua Hala Halatuju Status Perkhidmatan Telekomunikasi Dan Inisiatif JENDELA Oleh SKMM Kepada Ahli-Ahli Dewan Negeri Pahang di Hotel Rosa Passadena, Cameron Highlands.

RM1.396 BILION UNTUK INISIATIF JENDELA DI PAHANG

Oleh: Muhammad Shahrinnahar Abd. Latib
Foto: Mahathir Ali

CAMERON HIGHLANDS, 4 DISEMBER 2020: Sebanyak RM1.396 bilion peruntukan akan digunakan menerusi Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) untuk meningkatkan liputan talian telekomunikasi di seluruh Pahang dalam tempoh dua tahun.

Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), YBRS. Dr. Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek berkata, peruntukan berkenaan adalah menerusi pelaburan daripada Kerajaan dan pelaburan daripada pihak swasta.

“Dalam perancangan JENDELA di Negeri Pahang, pihak SKMM menyasarkan kadar penembusan jalur lebar di kawasan berpenduduk adalah sebanyak 96.9 peratus.

“Namun setakat ini, kadar penembusan jalur lebar di Negeri Pahang adalah sebanyak 89.10 peratus dan kita yakin mampu mencapai sasaran berkenaan selepas pelbagai inisiatif menerusi JENDELA dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Taklimat Dan Perbincangan Dua Hala Halatuju Status Perkhidmatan Telekomunikasi Dan Inisiatif JENDELA Oleh SKMM kepada Ahli-Ahli Dewan Negeri Pahang di Hotel Rosa Passadena di sini, malam tadi.

Turut hadir, Menteri Besar Pahang, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail dan Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff.

Seramai 17 Ahli Dewan Negeri (ADN) termasuk daripada PAS hadir mendengar taklimat yang bertujuan untuk mendapatkan pandangan dan maklumat mengenai status talian telekomunikasi di kawasan mereka.

Sehubungan itu, beliau berkata, dalam pelaksanaan JENDELA di Negeri Pahang, pihaknya akan memantapkan lagi fungsi Pusat Internet Komuniti agar rakyat berpeluang menikmati perkhidmatan jalur lebar yang berkualiti.

“Kita juga merancang untuk menaiktaraf 1,322 menara sedia ada di kawasan bandar, pinggir bandar dan pedalaman kepada rangkaian 4G. Selain itu, 116,773 premis akan diperluaskan rangkaian gentian optik,” katanya. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

 915 total views,  6 views today

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download