Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB. Dato Abd Rahim Muda melihat keadaan Kompleks Teruntum yang diberikan imej baharu.

RM1.1 JUTA BERI NAFAS BAHARU KOMPLEKS TERUNTUM

Oleh: Fansurina Abdullah
Foto: Muhammad Muslimi Abd Rahim

KUANTAN, 27 OKTOBER 2020: Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) menerima peruntukan RM1.1 juta daripada Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri di bawah Bajet Prihatin untuk memberi nafas baharu kepada bangunan Kompleks Teruntum yang kini berusia 40 tahun.

Peruntukan itu diberikan bagi menaiktaraf bangunan kompleks tersebut yang suatu ketika dahulu menjadi tumpuan penduduk di Kuantan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB. Dato Abd Rahim Muda berkata, pada era 80-an, Kompleks Teruntum merupakan antara bangunan tertinggi di Pantai Timur yang menjadi tumpuan ramai pengunjung.

“Saya mendapat arahan daripada Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail untuk memastikan peniaga-peniaga dan juga pengunjung yang datang ke Kompleks Teruntum ini akan dapat mengimbau kenangan dahulu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB. Dato Abd Rahim Muda melihat keadaan Kompleks Teruntum yang diberikan imej baharu.

“Saya berharap generasi muda pada hari ini akan dapat mengenali Kompleks Teruntum yang merupakan kompleks rakyat sebenarnya,” katanya selepas melakukan lawatan kerja ke Kompleks Teruntum, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif PKNP, En. Mohd Faizal Jaafar, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Tuan Haji Mohd Zaid Harun, Setiausaha PKNP, YH. Datin Hajah Noraskin Jamaludin dan Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Air Pahang (PAIP), En. Saiful Zaini Mohd Bokhari.

Dato’ Abd Rahim berkata, sejumlah peruntukan RM1 juta telah diperuntukkan kepada Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) untuk memberikan imej baharu kepada kompleks tersebut.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PKNP, En. Mohd Faizal Jaafar berkata, sehingga kini sebanyak 80 peratus kerja-kerja mengecat dan memasang bumbung di sekitar bangunan Kompleks Teruntum telah berjaya disiapkan.

“Semua kerja telah dimulakan sejak Julai 2020 dan dijangka siap pada penghujung November depan,” katanya.

En. Mohd Faizal berkata, pihaknya juga merancang untuk mengadakan program bagi menyerlahkan keunikan dan perbezaan di kompleks terbabit dengan melibatkan ramai peniaga kecil pada hujung minggu.

“Kompleks Teruntum perlu tampil berbeza berbanding kompleks dan pasaraya lain supaya dapat menarik lebih ramai pengunjung ke kompleks ini,” katanya. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download
error: