Menteri Besar Pahang, YAB Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail.

REMISEN KADAR CUKAI TANAH 2021 KEKAL – MB

Oleh : Fansurina Abdullah

KUANTAN, 24 DISEMBER 2020 : Kerajaan Pahang menerusi mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) pada 2 Disember 2020 telah bersetuju mengekalkan remisen kadar cukai tanah bagi tahun 2021 sebagaimana yang telah diputuskan bagi tahun 2020 pada Januari lalu.

Menteri Besar Pahang, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, keputusan ini merupakan lanjutan daripada perlaksanaan Pindaan Cukai Tanah (PCT) 2020 mulai 1 Januari 2020 di mana kerajaan negeri telah memutuskan beberapa siri remisen kadar cukai tanah bagi tahun 2020.

“Dengan keputusan remisen kadar cukai tanah tahun 2021 ini, ia dapat memberi kelegaan dan ruang mencukupi kepada semua pemilik tanah untuk menjelaskan cukai tanah sepenuhnya pada tahun 2021,” beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media kepada Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP), di sini, hari ini.

Pada Januari lalu, kerajaan negeri telah mengumumkan pengurangan kadar cukai tanah sebanyak 80 peratus melibatkan kawasan perindustrian di seluruh negeri ini bagi kesemua kategori tanah perindustrian setelah menerima rayuan daripada pemain industri.

Jumlah hak milik tanah kategori perindustrian di negeri ini adalah sebanyak 8,288 pemilik manakala bagi tanah pertanian adalah 282,429 pemilik daripada 702,259 jumlah hak milik secara keseluruhannya.

Kadar cukai baharu bagi tanah perindustrian di semua daerah di negeri ini menjadi RM0.50 semeter persegi berbanding RM2.50 sebelum ini manakala tanah perindustrian di Daerah Kecil Gebeng pula dikurangkan kepada RM1 bagi semeter persegi daripada RM5 sebelum ini dan Daerah Kecil Genting Highlands pula kadar baharu adalah RM0.80 daripada RM4 semeter persegi sebelum ini.

Pada Januari juga, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy turut mengumumkan kadar cukai tanah bagi kawasan tanah pertanian yang keluasannya melebihi 40 hektar diberi remisen sebanyak RM50 menjadikannya RM250 per hektar berbanding RM300 sebelum ini. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

 1,456 total views,  12 views today

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download