Oleh: Fairus Mohd
Foto: Muhammad Muslimi Abd Rahim
PEKAN, 2 JULAI 2020: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pahang, YAB Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail meminta lebih 8,000 pengundi Dewan Negeri (DN) Chini yang tinggal di luar kawasan itu pulang mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) tersebut, Sabtu ini.
Beliau yang juga Menteri Besar Pahang berkata, pengundi luar itu termasuk 20,816 orang yang layak keluar mengundi pada Sabtu ini.
“Saya merayu kepada semua pengundi luar daripada DN Chini supaya balik mengundi.. datang mengundi awal, bawa kad pengenalan dan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan sebab undi ni sangat penting.
“Seruan sama saya ajukan kepada semua pengundi yang tinggal dalam kawasan juga. Ini merupakan tanggungjawab mereka dan lebih penting ialah menunjukkan sokongan kepada kerajaan sedia ada hari ini,” katanya kepada pemberita selepas Kursus Penyembelihan syarie,Taklimat Kursus Perkahwinan dan Seminar Fiqh Wanita Peringkat Pahang di Dewan Semai Bakti Felda Chini Timur 3, di sini.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan pengundi agar keluar mengundi mengikut masa keluar mengundi yang digalakkan seperti disarankan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) pada voter’s card yang diberikan kepada setiap pengundi.
Cadangan masa mengundi itu bertujuan mengelak pengundi berkumpul dalam jumlah yang ramai dan seterusnya memastikan penjarakan sosial ketika berada di pusat mengundi.
Sementara itu katanya, kempen PRK Chini berjalan lancar dan berjaya mematuhi SOP yang digariskan SPR.
Katanya, hal demikian kerana kerjasama semua pihak termasuk pegawai SPR yang sentiasa mengingatkan dan memberi teguran ketika kempen PRK berlangsung. – PAHANGMEDIA