Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah melalui Sidang Video pada Majlis Perasmian Pembukaan Persidangan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.

RAKYAT PAHANG DISERU KEKAL PATUH PKP

Oleh: Muhammad Shahrinnahar Abd Latib
Foto: Mahathir Ali

KUANTAN, 20 APRIL 2020: Rakyat di negeri ini diseru supaya kekal patuh terhadap Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) termasuk mengamalkan langkah-langkah keselamatan dan kesihatan diri seperti yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, setiap rakyat perlu bekerjasama dan berdisiplin agar rantaian penularan COVID-19 ini dapat diputuskan.

“Duduklah di rumah masing-masing, amalkan etika kebersihan diri seperti sentiasa membasuh tangan, memakai topeng muka sekiranya berasa tidak sihat serta mengamalkan penjarakan sosial.

“Namun saya amat bersyukur dengan izin Allah SWT dan kecekapan petugas kesihatan Negeri Pahang, sehingga 18 April lalu, seramai 159 pesakit COVID-19 sudah sembuh di negeri ini,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian dalam satu sidang video pada Majlis Perasmian Pembukaan Persidangan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.

Yang hadir sama, Menteri Besar Pahang, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail, YB Yang DiPertua Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Haji Ishak Haji Muhamad, YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak dan Barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Persidangan Dewan Negeri (DN) Pahang hari ini hanya berlangsung selama dua jam, berikutan masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Baginda turut memuji segala usaha Kerajaan Negeri Pahang di bawah kepimpinan YAB Menteri Besar Pahang atas inisiatif-inisiatif yang diperkenalkan demi memastikan rakyat tidak gusar sepanjang tempoh PKP dilaksanakan.

“Ini termasuklah pemberian bantuan kewangan dan keperluan harian kepada rakyat saya yang terkesan dengan penularan wabak COVID-19. Saya juga maklum sebanyak RM10 juta telah disalurkan ke Pejabat Kewangan Dan Perbendaharaan Negeri melalui Pakej Rangsangan Ekonomi oleh Kerajaan Persekutuan.

“Justeru, saya merakamkan ucapan terima kasih atas penyaluran bantuan termasuklah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) yang diperkenalkan di peringkat nasional dan pengenalan serta pelaksanaan 22 inisiatif oleh kerajaan negeri yang disalurkan dalam bantuan kewangan dan barangan keperluan dengan jumlah peruntukan keseluruhan sebanyak RM24.347 juta,” titah baginda.

Pemangku Raja Pahang bertitah, baginda juga berterima kasih atas keprihatinan jentera pentadbiran Kerajaan Negeri serta para penjawat awam Negeri Pahang yang diketuai oleh YB Setiausaha Kerajaan Negeri yang turut memberi sumbangan kepada Tabung COVID-19 Pahang yang telah terkumpul sebanyak RM145,000.

“Selain itu YAB Menteri Besar dan 10 lagi Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan telah melakukan potongan gaji sebanyak 10 peratus selama tiga bulan sebelum menjadi ikutan 29 Ahli Dewan Negeri yang lain,” titah baginda. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download