Pengarah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) Negeri Pahang, YH, Dato’ Haji Idros Yahya.

RAKYAT PAHANG DISARAN MELANCONG DALAM NEGERI

Oleh: Fansurina Abdullah
Foto: Muhammad Muslimi Abd Rahim

KUANTAN, 21 OKTOBER 2020: Rakyat Pahang digalakkan melancong di dalam negeri ini bagi membantu sektor pelancongan yang terkesan akibat perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Lembah Klang.

Pengarah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) Negeri Pahang, YH, Dato’ Haji Idros Yahya berkata, rakyat Pahang perlu menyokong dan bercuti di dalam negeri memandangkan penularan COVID-19 masih tinggi di beberapa negeri di Malaysia.

Katanya, kawasan paling menerima impak ialah Cameron Highlands dan Janda Baik dengan kemerosotan pelancong sehingga 60 peratus dan ini memberi kesan yang besar kepada lokasi pelancongan terbabit.

“Cameron Highlands dan Janda Baik adalah lokasi terhampir dengan Lembah Klang, dan pasaran kita memang pelancong dari Lembah Klang. Jadi apabila penduduk Lembah Klang tidak dapat bergerak keluar kerana perlaksanaan PKPB, memang menjejaskan pelancongan kita.

“Tapi alhamdulilah, pintu masuk ke Pahang tidak ditutup keseluruhan. Pintu masuk negeri Pahang masih boleh dimasuki menerusi Perak, Johor, Kelantan dan Terengganu termasuklah dari Pahang sendiri masih boleh bercuti ke negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Hi-Tea Jurufoto, Blogger dan Media serta Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Fotografi dan Videografi di Kompleks ibu Pejabat Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), di sini, hari ini.

Dato’ Haji Idros berkata, pihaknya berharap kedatangan pelancong ke Pahang akan berterusan dari semasa ke semasa meskipun berkurang daripada jumlah pelancong sebelum ini supaya pemain industri pelancongan dapat bertahan.

Justeru, beliau meminta agar semua pengusaha makanan khususnya di lokasi pelancongan agar mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi memastikan kesinambungan sektor pelancongan dapat berjalan dengan baik meskipun dalam pandemik Covid-19.

“Jika berlaku penutupan semula ketika PKP sebelum ini, semua pihak akan terjejas lebih teruk dan kerana itulah sangat penting untuk semua pemain industri patuh kepada SOP dan saranan KKM,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Dato’ Haji Idros berkata, kerajaan Pahang telah menerima memorandum berhubung bantahan penutupan Taman Negara dan rayuan telah dikemukakan kepada pihak terbabit supaya menarik balik arahan penutupan terbabit.

Katanya, negeri Pahang tidak terlibat dengan PKPB dan masih boleh menerima pelancong-pelancong dari kawasan hijau untuk datang berkunjung ke Taman Negara.

Malah katanya, keluasan lokasi di Taman Negara juga memungkinkan pematuhan kepada arahan yang dikeluarkan KKM supaya setiap SOP dapat dijaga bagi mengawal penularan wabak Covid-19.

“Jika taman permainan dan rekreasi yang lebih kecil boleh menjalankan operasi mereka, jadi mengapa tidak Taman Negara juga dibenarkan beroperasi seperti biasa,” katanya. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download
Please follow and like us:
error