Oleh Mahathir Ali
PEKAN, 29 NOVEMBER 2020: Rakyat yang ingin menceburi bidang perniagaan secara online atau memajukan lagi perniagaan mereka disaran untuk mengikuti kelas Usahawan Online yang dianjurkan secara percuma di Pusat Internet Komuniti (PIK) di seluruh negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, sehingga kini terdapat 108 PIK disediakan Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia (SKMM) dengan kerjasama Kerajaan Pahang di seluruh negeri ini.
“Di sini, rakyat akan diberi bimbingan berkenaan teknologi maklumat, penggunaan media sosial, perbankan online dan teknik promosi secara online dengan lebih berkesan. Malah kelas adalah percuma kerana ia merupakan antara inisiatif kerajaan bagi memajukan taraf hidup rakyat dan melahirkan lebih ramai usahawan online.
“Kerajaan Pahang juga telah menambah serta menaiktaraf talian internet dan telekomunikasi di seluruh negeri ini secara berperingkat. Ia bagi memastikan lebih ramai penduduk termasuk dikawasan pedalaman dapat akses kepada internet dan telekomunikasi dengan lebih baik, sekaligus mereka mampu berniaga secara online dan menambah pendapatan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Unit Komunikasi Dan Media Pahang (UKOMP) ketika ketika melakukan lawatan kerja ke PIK di Kampung Permatang Pauh di sini semalam.
Beliau juga berharap lebih ramai rakyat mengambil peluang ini kerana ianya percuma, malah ketika negara masih diancam penularan wabak COVID-19 , memasarkan produk secara online merupakan antara perkara penting yang boleh dilakukan.
“Usaha Kerajaan Pahang pimpinan Menteri Besar, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail bersama Kerajaan Pusat melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) membina PIK ini bertujuan membantu dan memajukan kehidupan rakyat,” katanya.
Lebih 20 orang penduduk sekitar Kampung Permatang Pauh berjaya menjadi usahawan online hasil kursus yang diadakan di PIK ini.
Mereka merupakan penduduk kampung yang berniaga secara kecil-kecilan dan menjadi ahli PIK. – PAHANGMEDIA
870 total views, 3 views today