Cik Norfatimah Abdul Rahman, 33, menunjukkan bungkusan makanan yang dijualnya secara online hasil bimbingan Pusat Internet Komuniti (PIK) Taman Sedia.

PUSAT INTERNET KOMUNITI BANTU USAHAWAN KEMBANGKAN PERNIAGAAN

Oleh: Muhammad Shahrinnahar Abd. Latib
Foto: Mahathir Ali

CAMERON HIGHLANDS , 27 OKTOBER 2020: Promosi dan pemasaran produk perniagaan menerusi media sosial membantu seorang usahawan, Cik Norfatimah Abdul Rahman, 33, memperkembangkan perniagaan makanan yang telah diusahakan sejak beberapa tahun lalu.

Ia bermula selepas Cik Norfatimah menjadi ahli di Pusat Internet Komuniti (PIK) Taman Sedia, Tanah Rata di sini dan di situ dia dibimbing membuat pembungkusan, promosi dan perniagaan online bagi perniagaan makanan segeranya, Daging’s Station.

Cik Norfatimah berkata, sebelum ini dia tidak menggunakan media sosial untuk mempromosi perniagaannya itu dan pewujudan pusat internet ini telah menambah pengetahuannya untuk memperkembangkan perniagaan menerusi media sosial.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff (tiga dari kanan) ketika mengadakan lawatan ke Pusat Internet Komuniti (PIK) Taman Sedia, Tanah Rata.

“Terima kasih kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) kerana adanya pusat internet ini, perniagaan saya cepat dikenali oleh masyarakat khususnya penduduk di taman perumahan ini.

“Dengan adanya pusat ini membolehkan saya dibimbing untuk menggunakan kelebihan media sosial dengan sebaik mungkin untuk manfaat menjana pendapatan perniagaan makanan yang saya usahakan,” katanya ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) di sini, semalam.

Sebelum itu, PIK Taman Sedia menerima kunjungan Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff sempena lawatan kerja beliau ke Daerah Cameron Highlands.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff.

Turut hadir, Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Pahang Tuan Haji Zahari Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif PahangGo Sdn Bhd, Encik Affandi Mohd Isa dan Pengurus PIK Taman Sedia, Encik Ahmad Afandi Asmawi.

Dalam pada itu, Cik Norfatimah berkata, di pusat internet ini, dia diajar untuk membuat poster sendiri dan cara menggunakan aplikasi jualan yang ada bagi mengembangkan perniagaannya lagi.

Sementara itu, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin berkata, beliau dimaklumkan seramai 16 orang usahawan online telah berjaya dilahirkan dari Pusat Internet ini sejak 2019 dan seramai 4,045 penduduk menggunakan kemudahan di sini.

“Mereka merupakan penduduk kampung yang berniaga secara kecil-kecilan dan menjadi ahli PIK. Mereka telah diberi bimbingan teknologi maklumat melalui penggunaan media sosial termasuk mempelajari cara mengedit video dan foto serta melakukan promosi secara online dengan lebih berkesan.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff ketika mengadakan lawatan ke Pusat Internet Komuniti (PIK) Taman Sedia, Tanah Rata.

“Saya yakin lebih ramai usahawan online akan berjaya dilahirkan dari PIK di seluruh Negeri Pahang. Ini membuktikan usaha Kerajaan Pahang pimpinan Menteri Besar, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail bersama Kerajaan Pusat melalui Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) telah meningkatkan taraf hidup rakyat terutamanya mereka dikawasan pedalaman seperti peniaga-peniaga kecil.

“Saya juga harapkan lebih ramai penduduk akan menggunakan kemudahan di PIK dan mampu menjadi usahawan online yang berjaya. Kerajaan Pahang akan terus memberi perhatian dengan menambah baik serta menaiktaraf talian internet di seluruh negeri ini,” katanya. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download