Menteri Kesihatan YB Dato’ Sri Dr. Adham Baba (tengah) ketika mengadakan lawatan lawatan ke Klinik Kesihatan Chini di Pekan hari ini.

PUSAT HEMODALISIS BERNILAI KIRA-KIRA RM2 JUTA AKAN DIBINA DI CHINI

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

PEKAN, 29 JUN 2020 : Sebuah pusat hemodialisis bernilai kira-kira RM 2 juta akan dibina di Chini tidak lama lagi bagi menampung keperluan penduduk sekitar.

Menteri Kesihatan YB Dato’ Sri Dr. Adham Baba berkata pusat hemodalisis tersebut akan menempatkan 10 buah mesin hemodalisis selain kemudahan air yang dirawat dan penempatan kepada petugas kesihatan.

“Kita lihat sekurang-kurangnya sepuluh mesin boleh diletakkan di sini. Mesin itu tidaklah memerlukan belanja yang banyak, tidak sampai RM 2 juta untuk kita bina sebuah pusat hemodalisis yang mempunyai 10 buah mesin hemodalisis.

“Dalam pusat dialisis ini juga ada satu kawasan yang buat RO water, iaitu air yang dirawat dan tempat untuk doktor yang datang untuk merawat sekiranya ada kes-kes kecemasan,” katanya.

Menteri Kesihatan YB Dato’ Sri Dr. Adham Baba (tengah) ketika mengadakan lawatan lawatan ke Klinik Kesihatan Chini di Pekan hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melakukan lawatan ke Klinik Kesihatan Chini, di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Kewangan II yang juga Ahli Parlimen Paya Besar, YB. Mohd Shahar Abdullah; dan calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini, Encik Mohd Sharim Md. Zain.

Beliau berkata pihak KKM sentiasa bersiap sedia untuk memberikan rawatan yang terbaik kepada masyarakat dan pembinaan pusat hemodalisis ini dilihat bersesuaian untuk menampung keperluan di Chini.

“Jadi untuk masyarakat Chini, KK Chini ini yang telah lama mendapat perkhidmatan, dan kita dapat angka yang munasabah untuk kita bangunkan sebuah pusat hemodalisis yang mana sekiranya dapat dibina pusat hemodalisis, maka tidak perlu lagilah untuk dihantar ke tempat yang berjauhan.

“InsyaAllah pusat hemodalisis ini berfungsi kerana keperluan yang mendesak dan kita di Kementerian Kesihatan memang sentiasa ingin membuat persiapan dan juga kesiapsiagaan supaya rawatan yang terbaik kepada pesakit-pesakit yang mempunyai masalah buah pinggang dan memerlukan rawatan dialisis diutamakan,” katanya.

Beliau berkata selain daripada pembinaan pusat hemodalisis tersebut, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut akan membina keperluan rawatan kecemasan dan juga rawatan pengimejan diagnostik X-ray.

“Pihak KK Chini dan pihak kesihatan negeri ada memaklumkan kepada saya bahawa keperluan tersebut perlu memandangkan jarak untuk menghantar sekiranya ada kes-kes kecemasan yang jauh ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) atau pun ke Hospital Pekan sendiri.

“Maka dengan itu kita merujuk kepada keperluan emergency bay dan juga diperlukan juga beberapa katil untuk diletakkan di sini dan untuk sekian kali kita dapati perlu ada juga pusat rawatan ini bahagian radiologi iaitu x-ray. Mesin x-ray dan juga untuk membantu diagnosis,” katanya.

Beliau berkata kesemua kemudahan ini akan dibina berikutan difahamkan bilangan pesakit yang tinggi dalam sehari di klinik ini.

“Klinik ini telah lama beroperasi dan setakat ini telah menyumbangkan perkhidmatan yang sangat berkesan dan bilangan yang ramai hadir hingga ke 300 hingga ke 500 orang sehari,” katanya.

Selain itu, pihaknya juga akan memastikan sistem pendawaian di pusat-pusat kesihatan di seluruh negara diperiksa dan ditambahbaik bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini.

“Setakat ini kita melihat kepada keutamaan dalam menyiapsiagakan perkhidmatan KKM. Kita berpandukan kepada keutamaan dan priority yang penting ialah hari ini kita melihat kepada sistem wiring seperti mana yang berlaku (kebakaran) di Hospital Sultanah Aminah (HSA) semalam.

“Kita melihat juga bagaimana kita boleh improve atau menambahbaik sistem wiring dan juga bekalan tenaga elektrik (di pusat-pusat kesihatan),” katanya. -PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download