Oleh: Muhammad Shahrinnahar Abd Latib
Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi
BENTONG, 29 JANUARI 2021: Kerajaan Pahang hari ini menerima sumbangan berjumlah RM100,000 daripada Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) untuk Tabung Khas Bencana Banjir Negeri Pahang bagi membantu penduduk terjejas banjir.
Majlis penyerahan sumbangan berkenaan oleh Pengerusi PUNB, YB Tan Sri Noh Omar kepada Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail dalam satu majlis ringkas di Majlis Perbandaran Bentong hari ini.
Turut hadir, YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr Salehuddin Ishak dan Ketua Pegawai Eksekutif PUNB, Encik Izwan Zainuddin.
Sementara itu, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy berkata, Kerajaan Pahang mengucapkan terima kasih kepada PUNB kerana memberi sumbangan ini.
“Ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban terutamanya mangsa-mangsa yang terlibat dalam bencana banjir baru-baru ini. Di Pahang juga kita ada kira-kira 41,000 mangsa banjir yang terkesan.
“Terima kasih kepada PUNB, saya dimaklumkan juga bahawa Pahang adalah negeri pertama yang menerima bantuan ini,” katanya ketika ditemui media selepas majlis berkenaan.
Sementara itu, YB Tan Sri Noh berkata, bantuan yang disumbangkan PUNB ini adalah tanda keprihatinan agensi berkenaan dalam membantu masyarakat terjejas dan memerlukan bantuan.
“Ketika seluruh negara masih bergelut dalam menangani penularan wabak COVID-19, rakyat di negeri Pahang diuji pula dengan bencana banjir yang menyebabkan penduduk mengalami kesukaran akibat kehilangan harta benda.
“Saya berharap sumbangan ini sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban penduduk yang terjejas,” katanya – PAHANGMEDIA