Menteri Besar Pahang, YAB Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail melancarkan Projek GTSRP, Sungai Pohoi, Mukim Ulu Lepar, Gambang di Hotel Corus, Kuala Lumpur, hari ini.

PROJEK TAMAN PENYELIDIKAN RM400 JUTA BUKTI TOHMAHAN KEPADA KERAJAAN NEGERI TIDAK BENAR

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

KUALA LUMPUR, 25 JUN 2020 : Pelaburan bernilai RM400 juta dalam Projek Taman Penyelidikan Benih Tropikal Global (GTSRP) membuktikan tohmahan yang dilemparkan terhadap Kerajaan Negeri adalah tidak benar.

Menteri Besar Pahang, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata projek yang akan dilaksanakan bulan hadapan ini membuktikan tohmahan mengenai pelabur tidak mahu melabur di Pahang akibat kenaikan cukai sama sekali tidak berasas.

“Tohmahan mengenai pelabur-pelabur lari daripada Pahang kerana sebab tertentu seperti kenaikan cukai tanah adalah tidak benar.

“Kalau tidak, tak akan Dr. Chua (Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Green World Genetics Sdn. Bhd.) datang melabur dan bercadang nak melabur lagi di Cameron Highlands,” katanya.

Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail bersama Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Green World Genetics Sdn Bhd, YBhg Dr. Chua Kim Aik melihat hasil produk pertanian pada Majlis Pelancaran Projek GTSRP, Sungai Pohoi, Mukim Ulu Lepar, Gambang di Hotel Corus, Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Projek GTSRP, Sungai Pohoi, Mukim Ulu Lepar, Gambang di Hotel Corus hari ini.

Turut hadir, YB. Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak; Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Negeri Pahang yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Lepar, YB. Abdul Rahim Muda; Timbalan Pengerusi Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP) yang juga ADN Dong, YB. Dato’ Sri Shahiruddin Ab. Moin; dan Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Green World Genetics Sdn. Bhd. (GWG),YBhg. Dr. Chua Kim Aik.

Beliau berkata Kerajaan Negeri turut mengamalkan dasar mesra pelabur dengan menghentikan kaedah birokrasi yang melambatkan proses.

“Setakat tahun ini 17 memorandum persefahaman (MoU) telah ditandatangani dalam misi pelaburan Kerajaan Negeri yang bernilai RM2.726 bilion dengan majoriti pelaburan menjurus kepada industri dan pertanian.

Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Pelancaran Projek GTSRP, Sungai Pohoi, Mukim Ulu Lepar, Gambang di Hotel Corus, Kuala Lumpur, hari ini

“Di Singapura, 11 MoU ditandatangani bernilai pelaburan kira-kira RM1.134 billion dan di China pula, enam MoU ditandatangani bernilai keseluruhan kira-kira RM1.386 billion” katanya.

Mengulas mengenai projek pembangunan yang dijalankan secara kerjasama antara GWG dan Kerajaan Negeri serta PKPP ini, ia dijalankan bagi memastikan kelangsungan pengurusan rantaian makanan secara keseluruhan.

“Pusat ini merupakan pusat sehenti kecemerlangan penyelidikan dan pembangunan benih tanaman tropika yang holistik berfungsi menghasilkan biji benih dengan mengaplikasikan metodologi dan teknologi pertanian bagi mengeluarkan hasil yang tinggi.

“Dalam keadaan biasa, satu ekar tanah boleh keluarkan empat hingga lima tan, tetapi kalau ada benih yang baik, ia boleh keluarkan 13 hingga 14 tan hasil,” katanya.

Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail dan YB Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak bersama kepimpinan Negeri Pahang pada Majlis Pelancaran Projek GTSRP, Sungai Pohoi, Mukim Ulu Lepar, Gambang di Hotel Corus, Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau berkata projek ini dijangka akan dibangunkan dalam tempoh lima tahun bermula tahun hadapan sehingga 2025.

“GWG menetapkan objektif yang realistik dan pencapaian faedah berpanjangan dalam menjadikan Pahang sebagai hub pertanian termaju menjelang tahun 2025.

“Projek ini mengabungkan enam komponen utama iaitu Pusat Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) Benih Tanaman Tropika, Pusat Gemplasma, Perladangan Inkubator, Pusat Inovasi Agro,Terminal Pemasaran Besepadu, dan Pusat Rekreasi Agro Pelancongan,” katanya.

Selain itu, beliau berkata projek berkeluasan 448.79 hektar ini juga bakal menyediakan 1,000 peluang pekerjaan yang disediakan pada pelbagai peringkat. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download