Looh Chee Wee (kanan) dan rakan kongsinya, Kelvin Loo melihat kebun nanas MD2 yang diusahakan oleh mereka seluas empat ekar di Benta, Lipis.

PROGRAM AGROPRENEUR MUDA BANTU JADIKAN BIDANG INI SEBAGAI PILIHAN KERJAYA

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim

LIPIS, 19 DISEMBER 2020 : Program Agropreneur Muda dilihat dapat membuka peluang kepada Kementerian untuk mendekati golongan muda dan membantu mereka menjadikan bidang ini sebagai pilihan kerjaya.

Menurut seorang penerima Geran Agropreneur Muda (GAM) Negeri Pahang, Mohd Amerul Affendi Mohd Mawardi, 35, yang mengusahakan ternakan kerbau berkata, peruntukan yang diterima ini akan digunakan untuk membaiki kandang kerbau miliknya.

“Saya bercadang untuk baiki kandang kerbau yang semakin bertambah. Sekarang saya ada tujuh ekor kerbau yang ditempatkan dalam kandang yang agak telah lama manakala lebih 20 ekor lagi berada di luar kandang.

“Saya jangka dapat tambah jumlah kerbau yang diternak kepada 50 ekor tidak lama lagi dan ini pastinya memerlukan kandang yang lebih kukuh dan besar,” katanya.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, Datuk Seri Ahmad Hamzah (dua kanan) bersama Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar merangkap Ahli Parlimen Lipis, YB Dato’ Sri Abdul Rahman Mohamad (dua kiri) melihat nanas MD2 yang diusahakan oleh Looh Chee Wee Dan Kelvin Loo di kebun mereka di Benta, Lipis.

Mengulas mengenai pilihannya untuk menternak kerbau sejak empat tahun lepas di Kampung Kelibut, Mohd Amerul Affendi yang juga pelakon berkata pendapatannya agak lumayan terutamanya menjelang musim perayaan menyebabkan dia memilih untuk menjadi penternak.

Sementara itu, Looh Chee Wee dan rakan kongsinya, Kelvin Loo, masing-masing berusia 39 tahun berkata pemberian geran ini sangat membantu perusahaan kebun buah-buahan miliknya untuk lebih ke hadapan.

“Sebelum ini saya pernah dapat geran melalui Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia di mana ia menyediakan ruang dan peluang untuk kami memasarkan produk pertanian.

“Melalui pemberian geran ini juga,mereka turut berkongsi maklumat dan pengalaman berkaitan pengendalian tanaman untuk menghasilkan buah yang berkualiti,” katanya yang mengusahakan tanaman nenas MD2 di kebun seluas empat hektar di Benta sejak dua tahun lepas.

Looh berkata selain tanaman nenas, kebun dibawah jenama Benta Mata, Benta Farm ini turut menanam durian jenis Musang King dan Duri Hitam.

“Buat masa ni, hasil nenas yang ditanam di kebun ini dijual di pasaran sekitar selain di Lembah Klang namun kami mensasarkan ia dapat dipasarkan ke luar negara pada masa hadapan.

“Kami juga turut menanam pisang, kelapa, markisa dan tanaman sampingan yang lain setakat ini,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi penerima geran, Wan Khairol Amin Wan Mokhtar, 29 dari Benta berkata, geran sebanyak RM20,000 yang diterimanya akan digunakan untuk mengembangkan lagi perusahaan tanaman cili miliknya.

“Melalui geran yang diterima hari ini, saya akan gunakan untuk mengembangkan lagi tanaman fertigasi cili saya.

“Tahun lepas sahaja saya mampu memperoleh pendapatan bersih kira-kira RM30,000 melalui jualan cili diatas tanah kira-kira 0.8 hektar,” katanya.

Program Agropreneur Muda ini merupakan salah satu inisiatif Kerajaan dalam menarik penglibatan golongan muda untuk menceburi sektor pertanian di negara ini. -PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

 1,138 total views,  6 views today

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download