Oleh: Muhammad Shahrinnahar Abd. Latib
Foto: Muhammad Muslimi Abd Rahim & Putera Faliq Hakim Suhairi
PEKAN, 4 JULAI 2020: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berpuas hati dengan perjalanan proses pembuangan undi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Negeri (DN) Chini setakat ini.
Timbalan Pengerusi SPR, Dr Azmi Sharom berkata, beliau berpuas hati dengan suasana pengundian yang kelihatan berjalan lancar.
“Dari pemerhatian saya, tiada sebarang gangguan atau halangan yang boleh menghalang pengundi daripada menjalankan tanggungjawab mereka.
“Saya juga mendapati kehadiran pengundi begitu memuaskan dan berharap dengan cuaca yang baik ini, malah para pengundi juga mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melawat pusat pengundian di Kelas Al-Quran Dan Fardhu Ain (KAFA) Chini 3 di sini hari ini.
Beliau berkata, SPR berharap suasana tenang ini akan berterusan sehingga pusat pengundian ditutup jam 5.30 petang ini.
“Kita menyasarkan 70 peratus pengundi akan keluar mengundi dalam PRK kali ini sehingga pusat mengundi ditutup,” katanya.
Dalam pada itu beliau berkata, SOP yang digunakan pada PRK Chini ini akan ditambah baik untuk digunakan pada pilihan raya umum (PRU) nanti.
“Kita akan membuat perbincangan dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk membaiki lagi SOP yang ada supaya pada PRU nanti ia lebih kemas,” katanya. – PAHANGMEDIA