PRK CHINI: SPR KELUARKAN SOP KETAT BAGI ELAK PENULARAN COVID-19

KUANTAN, 15 JUN 2020: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah mengeluarkan satu Prosedur Operasi Standard (SOP) khas untuk pilihan raya akan digunapakai sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Negeri N.23 Chini dijalankan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang berkuat kuasa.

Pengerusi SPR, YH Datuk Azhar Azizan Harun berkata, perkara utama yang diketengahkan adalah pematuhan kepada penjarakan sosial, pemakaian pelitup muka separuh (face mask), penggunaan pensanitasi tangan (hand sanitizer) dan proses saringan suhu badan.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Azhar Harun

Beliau berkata, SOP khas ini akan dilaksanakan dengan ketat di semua proses pilihan raya iaitu taklimat petugas, proses penamaan calon, proses cetakan dan semakan kertas undi, pengeluaran dan pengiraan kertas undi pos, semakan isi peti undi, sepanjang tempoh berkempen, hari mengundi dan penjumlahan rasmi undi.

Menurutnya, proses penyerahan borang Kertas Penamaan akan berlangsung seperti mana proses penamaan calon sebelum ini, namun semua calon tidak lagi dibenarkan berarak bersama para penyokong masing-masing atau mengadakan sebarang aktiviti berkumpulan. Hanya calon, seorang pencadang calon dan seorang penyokong calon sahaja dibenarkan memasuki pusat penamaan calon.

“Ini bagi meminima perhimpunan orang ramai serta mengurangkan risiko penularan wabak di sekitar pusat penamaan calon. SOP yang sama juga perlu dipatuhi oleh calon semasa berada di pusat penjumlahan rasmi undi. SPR akan bekerjasama dengan pihak polis bagi memantau pematuhan SOP khas ini,” katanya menerusi satu kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, bagi tempoh berkempen pula, calon atau parti hanya dibenarkan untuk membuka satu Bilik Jawatankuasa (Bilik Gerakan Utama) dan tiada Bilik Gerakan Kecil atau tempat perkumpulan lain bagi calon atau parti dibenarkan.

Menurutnya, bagi mematuhi penjarakan sosial, tiada ceramah yang menghimpunkan orang ramai dibenarkan.

“Begitu juga aktiviti ziarah oleh calon atau penyokong parti ke rumah-rumah pengundi adalah tidak dibenarkan. Calon boleh memaksimumkan kaedah kempen menggunakan medium atas talian atau melalui saluran media sosial. SPR melalui tiga (3) Pasukan Pemantau Kempen Pilihan Raya (PPKPR) akan memantau semua aktiviti calon ketika berkempen termasuk pematuhan terhadap SOP khas ini,” katanya.

Gambar Hiasan

Datuk Azhar Azizan juga berkata, pada hari mengundi, semua pengundi diwajibkan memakai pelitup muka separuh (face mask), menggunakan pensanitasi tangan (hand sanitizer) dan akan melalui proses saringan suhu badan. Face mask, hand sanitizer dan sarung tangan akan dibekalkan di semua pusat mengundi pada hari mengundi kelak.

Menurutnya, pengundi perlu melalui penggunaan pensanitasi tangan di tiga stesen dalam pusat mengundi iaitu di pintu masuk pusat mengundi, di pintu masuk saluran dan sebelum keluar dari pusat mengundi.

Katanya, petugas pilihan raya akan memantau pergerakan pengundi bagi memastikan SOP ini dipatuhi sepanjang berada dalam pusat mengundi.

“Pengundi yang bergejala dan tidak melepasi saringan suhu badan akan tetap dibenarkan mengundi di khemah khas yang dipantau oleh pegawai kesihatan. Pengundi berkenaan akan diuruskan oleh pegawai kesihatan untuk pemeriksaan dan tindakan lanjut.

“Berhubung pesakit positif COVID19, individu yang diberi Perintah Pengawasan dan Pemerhatian atau Person Under Surveillance (PUS) dan individu yang bergejala yang sedang dalam rawatan atau Person Under Investigation (PUI), SPR akan mengumumkan maklumat lanjut berhubung pengundian melibatkan individu daripada kategori tersebut dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau berkata, SPR akan mengemaskini SOP ini selaras dengan apa-apa arahan terkini di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342). Maklumat lanjut mengenai SOP ini boleh didapati dari laman sesawang SPR iaitu www.spr.gov.my. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download
Please follow and like us:
error
error: