Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Razli Mohd Yusof ketika memberi Taklimat SOP PRK Chini di Auditorium Universiti DRB-Hicom, Pekan, hari ini.

PRK CHINI: POLIS LULUSKAN 110 PERMOHONAN PERMIT BERKEMPEN

PRK CHINI: POLIS LULUSKAN 110 PERMOHONAN PERMIT BERKEMPEN

PEKAN, 29 JUN 2020: Sepanjang tempoh berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Negeri (DN) Chini, pihak polis telah meluluskan 110 daripada 114 permohonan permit sehingga hari ini.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Razli Mohd Yusof berkata, permohonan permit yang diluluskan itu meliputi 62 permohonan permit ceramah secara tertutup dan 48 permohonan permit berkempan menggunakan kenderaan.

Menurutnya, empat permit yang tidak diluluskan itu adalah permohonan permit menggunakan kenderaan yang melebihi waktu dibenarkan berkempen iaitu dari jam 10 pagi hingga 9 malam.

“Kita telah menerima 114 permohonan permit dah kita telah luluskan 110 permit…Yang tak lulus empat iaitu permit bergerak menggunakan pembesar suara melebihi masa. Yang kita tetapkan permit gunakan kenderaan dari jam 10 pagi hingga 9 malam,” katanya.

Garis Panduan Pencegahan Covid-19 Bagi Pelaksanaan Pilihan Raya Kecil (PRK) DN Chini

Beliau berkata demikian kepada media selepas Taklimat Simulasi SOP (Prosedur Operasi Standard) Pilihan Raya Kecil DN Chini di Auditorium Universiti DRB-Hicom, di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK), YDH Dato’ Abdul Aziz Salleh dan Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Pahang, Encik Mohd Zairasyahli Shah Zakaria.

Beliau juga berkata, sepanjang tempoh berkempen, pihak polis juga tidak menerima sebarang laporan seperti pergaduhan dan tidak puas hati malah semua pihak mematuhi garis panduan ditetapkan.

Menurutnya, pihak polis juga telah menempatkan anggotanya di setiap kawasan berkempen daripada Jabatan Siasatan Jenayah, unit kereta peronda dan trafik bagi mengawal keselamatan dan ketenteraman.

“Kita juga ada team COVID-19 supaya pihak-pihak yang bertanding mematuhi garis panduan seperti penjarakan sosial, guna penutup muka, hand sanitizer dan penyukat suhu,” katanya.

Superintenden Mohd Razli Mohd Yusof juga berkata, antara kempen yang tidak perlu memohon permit adalah ziarah dari rumah ke rumah dan pihak yang bertanding perlu memaklumkannya kepada pihak polis terlebih dahulu supaya rondaan dan pemantauan dapat dilakukan oleh pasukan penguatkuasa kempen pilihan raya.

Beliau juga menasihati pengundi-pengundi yang mempunyai gejala COVID-19 agar memaklumkan kepada Pejabat Kesihatan Daerah bagi mendapatkan kebenaran keluar mengundi.

“Di Chini ini kawasannya hijau. Cuma kita nasihatkan pengundi-pengundi ni kalau ada gejala, PUI dan PUS segera maklumkan kepada Pejabat Kesihatan Daerah untuk kebenaran keluar mengundi dan kaunter khas akan dibuka pada hari pengundian nanti,” katanya. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download