Timbalan Presiden UMNO, Dato' Sri Utama Haji Mohamad Hasan

PRK CHINI: LATIHAN KEPADA JENTERA PARTI BAGI PRU KE-15

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd. Rahim

PEKAN, 27 JUN 2020 : Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Negeri (DN) Chini disifatkan sebagai latihan kepada jentera parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15 nanti.

Timbalan Presiden UMNO, Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Hasan berkata PRK kali ini dilihat peluang terbaik bagi kepimpinan parti untuk memberi kefahaman kepada rakyat mengenai Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN).

“Jadi ini adalah peluang yang terbaik kepada kepimpinan parti untuk turun bertemu, berkempen untuk menerangkan keadaan negara, ekonomi negara, apa nak kita buat dan yang pastinya memberi kefahaman kepada rakyat terutamanya ahli parti kita asas Muafakat Nasional dan kerajaan yang ditubuhkan atas nama Perikatan Nasional.

“Dan PRK Chini ini jika boleh saya katakan, kita harap, supaya ianya merupakan PRK terakhir sebelum kita mengadakan PRU Ke-15. Jadi ia merupakan sebagai latihan-latihan kepada jentera parti untuk bersiap sedia menghadapi PRU-15 nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Perasmian Jentera Gagasan Generasi Baru Muafakat Nasional DN Chini di Dewan Dara Chini, di sini hari ini.

Turut hadir, Ahli Parlimen Pekan yang juga Pengarah Operasi Barisan Nasional (BN) bagi PRK Chini, YB. Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak; Ketua Penerangan UMNO Pekan merangkap ADN Bebar, Dato’ Mohd Fakharuddin Mohd Ariff; ADN Pulau Manis, YB. Dato’ Khairuddin Mahmod; dan Timbalan Yang Dipertua PAS Pekan, Mohd Fadhil Noor Abdul Karim.

Beliau berkata PRK ini juga dilihat dapat menerangkan dasar dan wawasan parti terutamanya mengenai kerajaan Perikatan Nasional dan Muafakat Nasional.

“Yang pentingnya kita nak supaya dasar parti, wawasan parti, terutamanya sekarang ini kerajaan Perikatan Nasional dan yang penting sekali ialah Muafakat Nasional ini nak kita terangkan kepada rakyat sekalian.

“Kerana di peringkat atas ramai yang faham apa itu Muafakat Nasional, apa itu Perikatan Nasional, tapi di peringkat bawah ni masih lagi ramai yang tak berapa faham, tak berapa pasti apa dia yang di panggil PN, MN tersebut,” katanya.

Tambah beliau lagi, jentera parti bagi kempen kali ini perlu bekerja kuat bagi memastikan semua pengundi didekati dan kempen dapat dilaksanakan dengan baik.

“Kita akur dan patuh pada arahan yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) (kempen) tidak boleh melebihi 250 orang, dibuat di tempat yang tertutup, tidak boleh ramai rumah ke rumah. Kita lakukan dan terhad sikitlah.

“Tetapi kena kerja kuat kerana dulu kalau boleh jumpa, jumpa ramai sekali. Sekarang ini kita jumpa dalam kumpulan yang kecil-kecil, kalau di rumah tu tak lebih daripda 20 orang, jadi perlu lebih banyak program berjumpa, program pergi menziarah, untuk kita dapat jumpa seramai mungkin pengundi dalam masa kempen yang dibenarkan ini,” katanya. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download
Please follow and like us:
error
error: