En. Ahmad Sharifuddin Salleh (duduk, tengah) bergambar bersama sebahagian pengurusan KPKP selepas mengadakan sidang media disini.

PRINSIP AHLI ADALAH TUAN, JAGA KEBAJIKAN PEKERJA RESIPI KEJAYAAN KPKP RANGKUL ANUGERAH KOPERASI TERBAIK PAHANG 2020

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto: Mahathir Ali

KUANTAN, 17 OGOS 2020 : Berpegang kepada prinsip ahli koperasi adalah tuan dan menjaga kebajikan pekerja dijadikan keutamaan adalah resipi kejayaan Koperasi Pegawai-Pegawai Kerajaan Negeri Pahang Darul Makmur Berhad (KPKP) merangkul Anugerah Koperasi Terbaik Negeri Pahang 2020.

Pengerusi Koperasi KPKP, Ahmad Sharifuddin Salleh berkata dua pegangan ini disifatkan sebagai pemangkin koperasi ini berjaya menerima anugerah ini pada Hari Koperasi Malaysia 2020 di Bangi pada 26 Julai lepas.

Beliau ketika ditemui berkata ahli adalah tuan ini bertepatan dengan asas penubuhan koperasi yang mana ia dihidupkan oleh ahli itu sendiri.

Pengerusi Koperasi Pegawai-Pegawai Kerajaan Negeri Pahang Darul Makmur Berhad (KPKP), En. Ahmad Sharifuddin Salleh ketika mengadakan sidang media di Kuantan disini hari ini.

“Ahli adalah tuan, kerana tanpa kewujudan ahli maka koperasi ini tidak dapat ditubuhkan apa lagi dijalankan seperti sekarang. Jadi pandangan dan kehendak mereka adalah keutamaan kami.

“Bagi kebajikan pihak pengurusan pula, kita menjaga mereka sebaik mungkin kerana merekalah tulang belakang dalam memastikan kelancaran operasi koperasi,” katanya.

Beliau berkata mereka amat bersyukur dengan anugerah yang tidak disangka ini kerana ia membuktikan mereka berada pada landasan yang tepat dalam menguruskan koperasi ini.

Tambah beliau, bagi memastikan koperasi kekal berada pada tahap yang cemerlang, mereka akan berusaha lebih daripada apa yang dilakukan sekarang.

“Kalau sebelum ini kita fokus 100 peratus dalam melaksanakan kerja, pengurusan, kewangan, tapi selepas ini kita meletakkan 120 peratus dalam penanda aras pelaksanaan kita.

“Kami juga akan cuba mengurangkan ketirisan sekurang mungkin, memastikan pengurusan lebih baik daripada sekarang, selain akan selalu mengambil tahu apa kehendak ahli koperasi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui UKOMP di Wisma KPKP, Jalan Gambut di sini hari ini yang turut dihadiri Pengurus Besar KPKP, Encik Abdul Rashid Abdul Rahman.

Beliau berkata kekuatan bagi koperasi ini adalah dari segi pengurusan dan juga kewangan yang dikendalikan oleh mereka yang berpengalaman.

“Koperasi ini sekarang menguruskan proses pinjaman lebih kurang RM1 juta hingga RM2 juta setiap bulan, aliran tunai kita juga lebih kurang RM20 juta. Setakat ini kita tidak mempunyai masalah dari segi kewangan walaupun dilanda penularan COVID-19.

“Atas sebab perbelanjaan secara berhemah dan pengurusan yang cekap kita mampu bertahan, kita tak rugi cuma kurang untung berbanding sebelum ini. Kita juga mengeluarkan moratorium kepada ahli yang membuat potongan pinjaman bagi bulan Julai, Ogos, dan September,” katanya.

Anugerah Koperasi Terbaik Negeri Pahang yang dimenangi KPKP pada Hari Koperasi Malaysia 2020 baru-baru ini.

Beliau berkata bagi memastikan pulangan yang diterima pihak KPKP kekal berada pada tahap RM4.5 juta setahun seperti yang dikekalkan sejak 10 tahun lepas, pihaknya bercadang untuk menceburi beberapa bidang baharu.

“Kita bercadang untuk menbina event village di Taman Sepakat yang akan dibuka untuk sewaan majlis tidak lama lagi.

“Kita juga bercadang untuk membina bandar koperasi yang berpusat, selain hospital dalam jangka masa panjang. Namun kita kita menumpukan kepada pelaburan sedia ada dalam bidang hartanah, perladangan, pajakan, dan juga pelaburan selain daripada pinjaman,” katanya.

Untuk rekod, KPKP dengan jumlah ahli seramai 8,505 pada 2020 telah ditubuhkan pada 1926 di Kuala Lipis dengan nama The State of Pahang Government Servants’ Co-operative Thrift and Loan Society Limited dengan bangunan asalnya di Pejabat Penerangan Kuala Lipis pernah dianggotai oleh Perdana Menteri Malaysia Kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein.

Pengurusan KPKP bergambar bersama anugerah yang dimenangi pada Hari Koperasi Malaysia 2020 baru-baru ini.

Ia kemudiannya berpindah ke Kuantan pada 1955 setelah Kuantan dijadikan ibu negeri Pahang sebelum berpindah beberapa kali dengan yang terakhir pada 1995 ke bangunan sekarang.

Koperasi ini menawarkan enam jenis pembiayaan dengan jumlah maksima RM100,000 ini terbuka kepada warganegara Malaysia berusia lebih 18 tahun, bermastautin di Pahang, bekerja tetap dengan Kerajaan Negeri Pahang, Kerajaan Persekutuan, dan Badan-badan Berkanun Negeri dan Persekutuan, Pihak Berkuasa Tempatan. -PAHANGMEDIA

 

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download