Oleh : Fansurina Abdullah
KUANTAN, 14 JANUARI 2021 : Kesemua premis di negeri Pahang hanya dibenarkan beroperasi pada jam 7 pagi hingga 12 tengah malam sepanjang perlaksanaan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Menteri Besar Pahang, YAB. Dato Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kesemua premis hendaklah mematuhi segala Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum ini.
“Majikan perlulah memastikan pekerja bebas daripada simptom-simptom COVID-19 sebelum dibenarkan bekerja selain merekodkan data pelanggan, pelawat dan semua yang berurusan di premis,” katanya dalam satu kenyataan media kepada Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP), di sini, hari ini.
Beliau berkata, kesemua rumah ibadah termasuk masjid dan surau dibenarkan beroperasi seperti biasa sepanjang tempoh PKPB ini dengan had kehadiran ditetapkan oleh Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) bagi rumah ibadat Islam dan rumah bukan Islam akan ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) / Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) / Kerajaan Negeri.
Manakala bagi upacara pernikahan pula hanya dibenarkan kehadiran seramai lapan orang sahaja dan upacara akad hanyan dibenarkan diadakan di Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) sahaja manakala perkahwinan bukan Islam pula perlu dilakukan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN)/ Rumah Ibadat / Persatuan Agama Bukan Islam.
YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy berkata, serentak dengan bencana banjir yang sedang melanda negeri ini, semua aktiviti gotong-royong pasca banjir juga perlu dilaksananakan dengan mematuhi kesemua SOP.
“Badan-badan bukan Kerajaan (NGO), badan korporat dan sukarelawan yang terlibat perlu mendaftar secara dalam talian di laman web https://ebanjir.pahang.gov.my,” katanya.
Bagi mana-mana sukarelawan, badan korporat dan NGO yang berada di luar negeri Pahang khususnya dari Zon Merah di bawah PKP adalah TIDAK DIBENARKAN menjalankan aktiviti gotong-royong pasca banjir di negeri ini.
Sementara itu, aktiviti yang tidak dibenarkan dalam tempoh PKPB adalah aktiviti hiburan, persidangan, seminar, bengkel dan kursus, penganjuran majlis keramaian, aktiviti sukan dan rekreasi dan aktiviti pelancongan.
Beliau berkata, sebarang aktiviti yang menyebabkan kehadiran ramai orang di suatu tempat juga tidak dibenarkan dan kerajaan akan memutuskan sebarang perubahan dari semasa ke semasa. – PAHANGMEDIA
1,286 total views, 9 views today