PREMIS DI PAHANG BEROPERASI 7 PAGI SEHINGGA 9.30 MALAM BERMULA HARI INI

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi 
 
BENTONG, 10 JUN 2020 : Operasi premis di seluruh negeri Pahang dibenarkan beroperasi bermula 7 pagi sehingga 9.30 malam berkuatkuasa hari ini.
 
Menteri Besar Pahang, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail dalam satu kenyataan media berkata Kerajaan Negeri Pahang meluluskan garis panduan untuk diguna pakai dalam Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di negeri ini yang melibatkan operasi, syarat khusus operasi, aktivit  sosial dan lain-lain perkara.
 
“Bagi operasi premis, semua premis dan aktiviti perniagaan dibenarkan beroperasi bermula 7 pagi hingga 9.30 malam kecuali bagi sektor yang dibenarkan (perkhidmatan ‘essential’) mengikut kelulusan lesen perniagaan asal (seperti stesen minyak, kilang dan klinik).
 
“Aktiviti atau sektor yang masih tidak dibenarkan termasuk pub, kelab malam, pusat hiburan, pusat refleksologi, pusat karaoke, taman tema, perarakan keagamaan dalam jumlah yang ramai, kenduri-kendara, rumah terbuka dan apa-apa aktiviti lain yang melibatkan kehadiran orang ramai yang bersesak di suatu tempat sehingga menyukarkan amalan penjarakan sosial dan pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP),” katanya.
 
Beliau berkata bagi syarat khusus operasi premis yang melibatkan restoran, medan selera, pusat penjaja, gerai makan tepi jalan yang berbumbung, kiosk, food court dan food truck dibenarkan pelanggan untuk makan di premis.
 
“Dibenarkan makan di premis (‘dine-in’) dengan mengekalkan jarak antara meja iaitu dua meter dan jarak antara kerusi pelanggan pula adalah satu meter. 
 
“Walau bagaimana pun, kanak-kanak di bawah umur 12 tahun dan warga emas berumur 70 tahun ke atas tidak dibenarkan untuk makan di premis,” katanya.
 
Tambah beliau lagi, bagi gerai buahan bermusim hanya beli dan bawa balik sahaja dibenarkan dan tidak dibenarkan mencuba, merasa, atau makan secara berkumpulan di tempat jualan.
 
“Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) perlu kenalpasti dan menetapkan lokasi yang bersesuaian dan memantau pematuhan SOP penjarakan sosial pelanggan dan pegerai, jarak antara pegerai dan penjagaan kebersihan seperti penyediaan ‘hand sanitizer’/ pencuci tangan.
 
“Bagi kilang pula, semua kilang dibenarkan beroperasi seperti biasa dan waktu operasi yang dibenarkan ialah sebagaimana kelulusan lesen operasi asal.
 
Bagi kawasan Rehat dan Rawat (R&R) di Lebuhraya Karak-KL, LPT 1 dan LPT2, restoran dan food court hanya dibenarkan satu meja sahaja untuk seorang pelanggan atau mengekalkan jarak dua meter antara meja dan jarak satu meter antara pelanggan.
 
“Bagi surau pula, pelanggan hendaklah menggunakan sejadah dan telekung yang dibawa sendiri. Dan pengurusan lebuhraya hendaklah meletakkan pengawal bagi menguatkuasakan arahan ini.
 
“Semua kaunter restoran, gerai dan surau juga hendaklah menyediakan pencuci tangan dan sabun pencuci tangan hendaklah disediakan di semua sinki, tempat wudhu dan tandas,” katanya.
 
Bagi premis dobi layan diri pula, jumlah pelanggan di dalam ruang menunggu hendaklah mengikut keluasan ruang lantai iaitu lima meter persegi bagi seorang pelanggan.
 
“Mereka juga perlu menyediakan ‘hand sanitizer’, mesin basuh dan mesin pengering perlu disantasi setiap kali digunakan, menandakan tempat yang dibenarkan pelanggan berada pada sepanjang masa di dalam premis dengan jarak sekurang-kurangnya 1 meter antara pelanggan.
 
“Pelanggan tidak dibenarkan melipat pakaian di dalam premis, menyediakan petugas sepanjang masa operasi bagi memastikan pelaksanaan syarat-syarat dipatuhi, dan kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah serta warga emas berumur 70 tahun  ke atas tidak dibenarkan,” katanya.
 
Bagi Pasar Awam pula dibenarkan operasi bermula 5 pagi sehingga 2 petang sahaja dan pelanggan perlu dipastikan tidak berada lebih lima minit bagi satu pembelian atau tidak melebihi 20 minit untuk barangan melebihi 10 barang.
 
“Pelanggan juga dinasihatkan mengelak daripada menyentuh barang-barang jualan, memadai dengan meminta peniaga terus membungkus barangan yang hendak dibeli dan penjual hendaklah memberi jaminan untuk mengembalikan wang kepada pembeli sekiranya barang yang dibeli tidak memenuhi kehendak pembeli selagi tidak meninggalkan kawasan pasar,” katanya.
 
 Bagi Pasar Terbuka melibatkan Pasar Segar Terkawal iaitu Pasar Tani dan Pasar Pagi waktu operasi adalah dari 7.00 pagi hingga 12.00 tengah hari. 
 
“Penjarakan tiga meter antara kanopi peniaga dengan saiz kanopi: 10’ x 10’, setiap peniaga hanya dibenarkan dua unit kanopi bagi setiap lot, dan susunan kanopi adalah mengikut kategori produk pada setiap lorong dan pelanggan dikawal di setiap pintu masuk/keluar.
 
“Had maksima peniaga termasuk pembantu ialah dua orang setiap kanopi dan maksima tiga orang bagi kanopi dua unit, peniaga yang melebihi umur 60 tahun tidak digalakkan, dan
bilangan maksima peniaga pada satu-satu masa ialah 50 lot. Terdapat hanya dua kaedah yang dibenarkan iaitu Walk In dengan had kawalan pengunjung masuk dan keluar, dan kaedah tempah dahulu, ambil kemudian.
 
“Pendatang Tanpa Izin (PATI) dan Pendatang Dengan Izin (PADI) tidak dibenarkan bekerja ataupun menjadi pelanggan,” katanya.
 
Bagi pasar malam, pasar lambak, pasar karat dan Car Boot Sale dibenarkan beroperasi bermula 3 petang sehingga 9 malam.
 
“Tetapi kesemua aktiviti ini ditangguhkan selama seminggu bagi daerah Temerloh, Jerantut serta Jengka.
 
“Tapak mestilah ada kawalan pintu masuk/keluar dalam gerakan sehala dan penjarakan tiga meter (10 kaki) antara kanopi peniaga dengan saiz kanopi 10’ x 10’,”katanya.
 
Bagi premis hotel, resorts, chalet, dan homestay, fasiliti restoran serta kafe dan bilik seminar dibenarkan beroperasi serta ‘dine-in’ dengan pematuhan penjarakan sosial dan penjagaan kebersihan mengikut SOP asas.
 
“Fasiliti berbentuk hiburan/riadah seperti karaoke, lounge, bar, gymnasium, spa, sauna dan kolam renang tidak dibenarkan dibuka. Penggunaan surau perlu dihadkan dengan penggunaan sejadah dan telekung sendiri,” katanya.
 
Bagi Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) perlu mendapatkan kebenaran Jawatankuasa RIBI (Bahagian Kerajaan Tempatan, SUK Pahang) sebelum beroperasi dengan bilangan pengunjung berdasarkan keluasan lantai premis pada kiraan penjarakan sosial 1 meter (kiri, kanan, depan dan belakang) bagi setiap pengunjung.
 
“Pengunjung perlu terus beredar dari kawasan RIBI selepas upacara sembahyang dan tidak dibenarkan berkumpul/bersembang dan berhimpun.
 
“Tiada upacara sembahyang yang berskala besar/perarakan diadakan termasuk upacara sembahyang tahunan, penyediaan makanan dibenarkan secara bungkus, dan proses nyah cemar RIBI hendaklah dilakukan sekurang-kurangnya sekali dalam sebulan/2 minggu sekali,” katanya.
 
Bagi perkhidmatan kedai gunting rambut, pendandam rambut dan salon kecantikan adalah
terhad kepada perkhidmatan gunting rambut asas sahaja.
 
“Dilarang menyediakan perkhidmatan seperti cuci rambut, cukur jambang & misai, solekan & rawatan rambut, merias & merawat kuku serta cucian & rawatan muka.
 
“Pelanggan berumur 60 tahun ke atas WAJIB buat temujanji sebelum mendapatkan perkhidmatan dan tanpa kehadiran pengunjung lain daripada kumpulan umur lain, dan daripada 9.00 pagi hingga 11.00 pagi sahaja.
 
“Kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah, ibubapa dibenarkan hadir, perlu memakai alat pelindung diri seperti penutup mulut dan hidung & apron pakai buang, dan pekerja perlu memakai penutup mulut dan hidung, apron pakai buang & set sarung tangan bagi setiap pelanggan. Set pakai buang perlu ditukar baharu dan dibuka di hadapan pelanggan setiap kali hendak digunakan. 
 
“Tidak berkongsi tuala bagi setiap pelanggan, pelanggan digalakkan membawa tuala sendiri, jarak antara kerusi tukang gunting perlu sekurang-kurangnya dua meter, semua bahan pakai buang perlu dibuang ke dalam tong yang bertutup dan diikat rapi, dan peralatan menggunting rambut perlu disanitasi setiap kali digunakan,” katanya.
 
 Bagi Aktiviti-Aktiviti Sosial pula, sukan yang dibenarkan adalah aktiviti sukan yang tiada sentuhan badan sahaja. 
 
“Sukan Bersentuhan dan berpasukan tidak dibenarkan. Misalnya, ragbi, bola sepak, hoki, bola keranjang dan futsal, serta sebarang penganjuran pertandingan acara sukan adalah di larang,” katanya.
 
Bagi isu Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI), PBT perlu membuat laporan kepada Jabatan Imigresen sekiranya terdapat premis yang menggaji PATI dan tangkapan hanya boleh dilaksanakan oleh Jabatan Imigresen.
 
“PBT boleh menutup operasi premis perniagaan jika terdapat pekerja/pengusaha dalam kalangan PATI atas faktor melanggar syarat lesen.
 
“Selain itu, semua premis perniagaan, fasiliti awam dan pelanggan diwajibkan menggunakan aplikasi MySejahtera untuk tujuan daftar pergerakan dan semakan kendiri status risiko/kesihatan,” katanya.
 
Beliau berharap dengan pematuhan kepada garis panduan serta SOP yang telah ditetapkan ini, usaha terus-menerus dalam membendung penularan wabak pandemik COVID-19 akan berjaya. – PAHANGMEDIA 
Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download
Please follow and like us:
error
error: