Ketua Polis Daerah Kuantan, Tuan Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali.

POLIS TUMPAS GENG APIH KAPAK

Oleh: Ain Nadhirah Basha

KUANTAN, 05 NOVEMBER 2020: Polis berjaya menumpaskan kumpulan ‘Geng Apih Kapak’ yang terlibat dengan beberapa kegiatan pecah masuk kedai perkakas rumah sejak Ogos lalu dalam beberapa tangkapan berasingan di sekitar negeri ini dan Terengganu.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Tuan Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, geng berkenaan tumpas selepas lima lelaki berusia 20 hingga 33 tahun ditahan dalam operasi selama lima hari bermula 19 Oktober sehingga 23 Oktober lalu.

“Kita menahan seorang lelaki di Beserah yang membawa kepada penangkapan tiga lagi suspek di sekitar daerah ini sebelum berjaya menahan seorang lagi suspek dipercayai ketua kumpulan ini di Dungun.

“Siasatan mendapati kesemua mereka ini terlibat dalam 11 jenayah pecah kedai perkakas rumah Mr. D.I.Y di Pahang dan Terengganu melibatkan kerugian kira-kira RM40,000,” katanya kepada media di sini hari ini.

Beliau berkata, modus operandi geng ini adalah untuk masuk ke dalam kedai perkakas rumah setelah kedai ditutup dan menyasarkan wang tunai yang ada di dalam peti tunai kedai berkenaan.

“Siasatan awal kita mendapati dua ahli geng ini akan masuk ke melalui tingkap di tandas kedai dengan cara mengumpil jeriji yang dipasang. Mereka ini kemudiannya akan menggunakan peralatan yang ada di dalam kedai untuk membuka peti tunai yang ada,” katanya.

Menurutnya pihak polis turut merampas sebuah kereta jenis Honda, satu unit telefon bimbit, satu unit pemutar skru, satu unit mesin gerudi, satu unit perakam rakaman kamera litar tertutup (CCTV), tiga helai baju pelbagai jenama dan sehelai seluar jean.

“Kita percaya dengan tertangkapnya kesemua suspek ini kita telah berjaya menyelesaikan sebanyak 11 kes yang dilaporkan iaitu tujuh di Pahang dan empat kes di Terengganu. Kesemua mereka yang tidak bekerja ini kini ditahan reman dan akan disiasat dibawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download