Sebahagian peralatan di pejabat kerajaan dan sekolah yang dicuri penjenayah di sekitar daerah Kuantan.

POLIS TUMPAS GENG AMIR KENJI

Oleh: Muhammad Shahrinnahar Abd. Latib
Foto: Mahathir Ali

KUANTAN, 21 SEPTEMBER 2020: Polis berjaya menumpaskan Geng Amir Kenji yang dipercayai aktif melakukan jenayah pecah sekolah dan pecah pejabat kerajaan dengan penangkapan empat lelaki pada 13 September lalu.

Kesemua suspek termasuk ketua kumpulan itu yang berusia lingkungan 22 hingga 37 tahun ditahan oleh sepasukan polis di Taman Tas di sini selepas dipercayai terbabit dalam sembilan kes pecah sekolah dan 10 kes pecah pejabat kerajaan dengan jumlah kerugian mencecah RM35,000.

Menurut Ketua Polis daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali, suspek ditahan kira-kira jam 6.30 petang oleh sepasukan pegawai polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan selepas menahan sebuah kereta jenis Perodua Axia di hadapan sebuah bank di kawasan berkenaan.

“Ketika ditahan ketiga-tiga suspek cuba melarikan diri namun gagal dan berjaya ditahan pihak polis. Hasil pemeriksaan di dalam kereta berkenaan menjumpai tujuh buah telefon bimbit pelbagai jenama.

“Pihak polis kemudian pergi ke rumah sewa suspek dan menjumpai barang-barang yang dipercayai hasil kejadian pecah sekolah dan pejabat pejabat kerajaan yang dilakukan oleh mereka,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di sini hari ini.

Ketua Polis daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali

Beliau berkata, pihak polis juga berjaya menahan seorang lagi suspek di kawasan Indera Mahkota kerana dipercayai terlibat membeli barang-barang yang dicuri oleh suspek.

“Selain tujuh buah telefon bimbit, kita juga merampas tiga buah komputer riba, tujuh buah beg, empat bentuk cincin, satu unit drone dan satu utas jam tangan.

“Kesemua suspek dipercayai tidak bekerja dan mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan jenayah dadah. Hasil saringan air kencing juga mendapati kesemua suspek positif dadah,” katanya.

Katanya lagi, siasatan juga mendapati, ketua kumpulan berkenaan yang berusia 30 tahun baharu sahaja selesai menjalani hukuman penjara selama lapan bulan atas kesalahan yang sama di Kelantan. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download
Please follow and like us:
error