Antara jenis dadah termasuk ganja yang berjaya di rampas anggota polis dalam satu tangkapan di sini baru-baru ini.

POLIS TAHAN EMPAT INDIVIDU TERBABIT PENGEDARAN DADAH

Oleh: Muhammad Shahrinnahar Abd. Latib
Foto: Mahathir Ali

KUANTAN, 21 SEPTEMBER 2020: Polis menahan empat individu termasuk dua wanita di sebuah rumah di kawasan Bandar Kuantan Puteri, di sini dipercayai terbabit dalam jenayah pengedaran dadah pada 18 September lalu.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, suspek berusia 19 hingga 25 tahun itu ditahan dalam serbuan yang dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan dengan nilai rampasan dadah dan sitaan harta berjumlah RM149,800.

Beliau berkata, serbuan dilakukan kira-kira jam 4 pagi ke atas rumah terbabit dan hasil pemeriksaan menemui satu paket plastik lutsinar berisi serbuk dan ketulan kejernihan disyaki syabu seberat 61.31 gram.

“Pemeriksaan lanjut membabitkan sebuah kereta yang di parkir di hadapan rumah menemui sembilan ketulan mampat daun kering pelbagai saiz yang dibaluti dengan plastik lut sinar dipercayai ganja seberat 2,924.51 gram.

“Turut ditemui enam paket plastik lut sinar disyaki dadah jenis heroin seberat 2,726.89 gram yang keseluruhannya rampasan dadah berjumlah RM38,800. Berikutan itu, dua kereta dan tiga motosikal yang disita pula dianggarkan berjumlah RM111,000,” katanya pada sidang akhbar di IPD Kuantan, di sini hari ini.

Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali (dua kiri) menunjukkan pelbagai rampasan dadah syabu, ganja serta heroin di Ibu Pejabat Daerah Kuantan disini hari ini.

Mohamad Noor berkata, ujian saringan awal air kencing mendapati keempat-empat suspek negatif tetapi seorang lelaki dan wanita mempunyai rekod lampau berkaitan kes dadah.

Katanya, empat suspek yang dipercaya dua pasangan kekasih kini ditahan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama tujuh hari bermula 19 hingga 25 September ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan. Siasatan awal juga mendapati kesemua suspek berasal dari Kuantan dan Pekan, Pahang itu tidak mempunyai pekerjaan tetap,” katanya. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download
Please follow and like us:
error
error: