Ketua Polis Pahang, Dato’ Abd. Jalil Hassan (empat dari kanan) bersama penerima anugerah pada Majlis Pemakaian Pangkat, Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, Penghargaan Tolak Rasuah, Pengurusan Perumahan Terbaik PDRM, dan Anugerah Integriti PDRM di Dewan Kelisa Briged Tenggara, Kuantan hari ini.

POLIS TAHAN 19 REMAJA TERLIBAT PARTI LIAR

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim

KUANTAN, 21 JULAI 2020 : Polis menahan 15 remaja lelaki dan empat remaja wanita kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan terlibat dalam parti liar di sebuah apartment di Genting Highlands.

Ketua Polis Pahang, Dato’ Abd. Jalil Hassan berkata kesemua remaja dalam lingkungan umur 19 tahun sehingga 25 tahun itu ditahan ketika sedang berparti di kediaman yang disewa terbabit hasil risikan yang dilakukan pihak polis.

“Seorang daripada individu yang ditahan dalam serbuan pada 19 Julai jam 9 pagi ini merupakan penuntut di sebuah institut kemahiran manakala baki 18 orang lagi adalah penganggur.

“Hasil saringan awal air kencing juga mendapati 15 individu yang ditahan tersebut positif dadah jenis methamphetamine.

“Mereka yang ditahan dalam serbuan berkenaan didapati bukan sahaja berasal dari Pahang tetapi ada juga yang dari luar Pahang,” katanya.

Ketua Polis Pahang, Dato’ Abd. Jalil Hassan menyampaikan anugerah kepada penerima pada Majlis Pemakaian Pangkat, Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, Penghargaan Tolak Rasuah, Pengurusan Perumahan Terbaik PDRM, dan Anugerah Integriti PDRM di Dewan Kelisa Briged Tenggara, Kuantan hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pemakaian Pangkat, Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, Penghargaan Tolak Rasuah, Pengurusan Perumahan Terbaik PDRM, dan Anugerah Integriti PDRM di Dewan Kelisa Briged Tenggara di sini hari ini.

Beliau berkata kesemua remaja berkenaan ditahan reman selama empat hari bermula semalam sehingga Khamis ini.

Menurut beliau, kes akan disiasat mengikut Seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 30(3) Akta Racun 1952, dan Seksyen 24 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Selain itu, beliau berkata Pahang telah merekodkan tangkapan sebanyak 1,320 individu yang ingkar dengan arahan PKP yang dikeluarkan pihak kerajaan.

“Bermula dari 18 Mac sehingga 20 Julai, kita telah menahan seramai 1,320 individu berkaitan tidak mematuhi PKP.

“Daripada jumlah ini, seramai 573 individu telah dituduh di mahkamah dan didapati bersalah dan dikenakan denda sebanyak RM1,000 seorang,” katanya. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download