Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 13 JANUARI 2021: Pihak polis mengadakan rondaan cegah jenayah di kawasan-kawasan rumah yang terjejas banjir bagi memastikan tiada sebarang aktiviti jenayah berlaku.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Tuan Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, berkata rondaan ini dilakukan oleh anggota polis sama ada menggunakan kereta mahupun bot.
“Kita akan lihat sekiranya rumah yang ditinggalkan ini berada dalam keadaan baik iaitu pintu dan tingkap tertutup atau berada dalam keadaan yang mencurigakan.
“Rondaan ini dilakukan bagi memastikan mangsa banjir yang dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) tidak bimbang dengan keselamatan harta benda yang terpaksa mereka tinggalkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa melakukan rondaan cegah jenayah di Kampung Semangat di sini yang dinaiki air melebihi 3.04 meter dan tidak boleh dilalui oleh sebarang kenderaan darat.
Beliau berkata, pihaknya juga menerima bantuan daripada orang kampung yang melaporkan kepada pihak polis sekiranya melihat perkara yang mencurigakan.
“Orang kampung juga turut meronda kawasan kampung mereka menggunakan bot dan jika ada sebarang aktiviti yang mencurigakan mereka akan segera berhubung dengan pihak polis.
“Ini adalah sangat membantu pihak polis dalam memastikan semua pihak berada dalam keadaan yang selamat dan terbaik semasa musim banjir ini,” katanya. – PAHANGMEDIA
431 total views, 3 views today