Ketua Polis Pahang, Dato’ Abd. Jalil Hassan menunjukkan dadah yang dirampas selepas menahan empat lelaki dalam sidang media Tangkapan Dadah oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pahang di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di Kuantan, hari ini.

POLIS RAMPAS SYABU, PIL YABA RM400,000

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 03 OGOS 2020 : Polis berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah jenis syabu dan pil Yaba bernilai RM400,000 dalam dua tangkapan berasingan minggu lepas.

Ketua Polis Pahang, Dato’ Abd. Jalil Hassan berkata, kedua-dua tangkapan melibatkan empat lelaki tempatan berusia 24 tahun hingga 28 tahun.

Beliau berkata, bagi tangkapan pertama, pihaknya telah menahan seorang lelaki di tepi sebuah rumah di Jalan Gambang dalam operasi khas pada Selasa lepas.

“Dalam operasi pada 12.30 tengahari ini, pihak polis telah berjaya merampas dadah jenis syabu seberat 3,097.30 gram dan pil Yaba sebanyak 12,000 biji seberat 1,333.60 gram.

“Ujian saringan awal urin oleh pihak polis mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan mempunyai dua rekod lampau bagi kesalahan dadah,” katanya.

Ketua Polis Pahang, Dato’ Abd Jalil Hassan.

Beliau berkata demikian pada sidang media Tangkapan Dadah oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pahang di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini, hari ini

Menurutnya lagi bagi tangkapan kedua, pihak polis telah menahan dua lelaki tempatan pada 2 petang Rabu lepas di tepi jalan Felda Kerteh 4, Dungun dan merampas 1,016.60 gram dadah jenis syabu serta 8,000 pil Yaba seberat 889.90 gram.

“Susulan tangkapan tersebut, pihak polis berjaya menangkap seorang lagi lelaki di Perhentian Bas Bandar Jertih, Besut dan merampas dadah jenis syabu seberat 1,006.63 gram.

“Saringan awal urin mendapati seorang suspek positif dadah jenis benzo, manakala dua suspek lagi negatif. Kesemua mereka tidak mempunyai rekod lampau dan di tahan reman selama tujuh hari sehingga 4 Ogos ini,” katanya.

Beliau berkata pihaknya percaya sindiket ini telah bergiat aktif mengedar dadah jenis syabu dan pil Yaba di sekitar daerah Kuantan dalam tempoh tujuh bulan.

“Rampasan dadah secara keseluruhan adalah sebanyak 5,120.53 gram bagi syabu dan 20,000 pil Yaba seberat 2,233.50 gram.

“Nilai sitaan harta, wang dalam akaun, dan wang tunai secara keseluruhan pula adalah sebanyak RM152,645.54 menjadikan jumlah keseluruhan rampasan dan sitaan adalah sebanyak RM552,645.54,” katanya.

Beliau berkata rampasan dadah secara keseluruhan di dalam kedua-dua tangkapan ini dapat dibekalkan kepada 30,240 pengguna.

Kesemua suspek akan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download
Please follow and like us:
error
error: