Ketua Polis Pahang Dato Abdul Jalil (tengah) menunjukkan hasil rampasan dadah dipercayai heroin,syabu dan pil eramin 5 bernilai RM470,979.00 pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang Kuantan hari ini.

POLIS RAMPAS DADAH, SITA HARTA BERNILAI HAMPIR SETENGAH JUTA

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd. Rahim

KUANTAN, 22 JULAI 2020 : Polis menahan dua lelaki warganegara tempatan dan merampas enam buah kenderaan serta dadah dianggarkan bernilai hampir setengah juta ringgit dalam dua tangkapan berasingan pada Sabtu lepas.

Ketua Polis Pahang, Dato’ Abd. Jalil Hassan berkata tangkapan pertama di Maran yang dilakukan oleh sepasukan anggota dari Pasukan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang telah menahan seorang lelaki berusia 30 tahun di hadapan sebuah rumah.

“Hasil pemeriksaan di Maran pada 11.30 pagi itu berjaya merampas dadah jenis heroin seberat 4,521.84 gram, dan syabu seberat 2,970.44 gram.

“Siasatan lanjut ke atas suspek membawa kepada penangkapan seorang lagi suspek berusia 29 tahun pada jam 2.30 petang hari yang sama di tepi jalan Sri Gombak, Batu Caves, Selangor,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) Pahang, hari ini.

Sidang media oleh Ketua Polis Pahang Dato Abdul Jalil dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pahang berkait Maran repot 001341 – 42/2020 (Sek 39b Adb 1952) dan Jinjang repot 011625-26/2020 (Sek 39b Adb 1952) di Dewan Tun Razak,Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang Kuantan hari ini.

Beliau berkata hasil tangkapan suspek kedua telah membawa pihak polis ke sebuah rumah di Sentul dan menemui dadah jenis syabu dan pil eramin 5 di rumah terbabit.

“Hasil pemeriksaan telah merampas dadah disyaki jenis syabu seberat 1,400 gram dan pil eramin 5 sebanyak 1,800 biji seberat 460 gram selain merampas wang tunai bernilai RM5,400 di rumah berkenaan.

“Pihak polis turut menyita harta kepunyaan suspek iaitu wang tunai, tiga buah kereta, dan tiga buah motorsikal kesemuanya bernilai RM232,979,” katanya.

Beliau berkata saringan air kencing kedua-dua suspek bagi penyalahgunaan dadah didapati negatif namun salah seorang daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau.

“Kedua-dua suspek kini ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama enam hari bermula 19 Julai.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan,” katanya.

Beliau berkata hasil siasatan pihaknya mendapati sindiket ini telah bergiat aktif mengedarkan dadah di sekitar Maran dalam tempoh tiga bulan ini.

“Kita percaya jumlah keseluruhan rampasan dadah keseluruhan sebanyak 9,352.28 gram bernilai RM238,000 ini boleh dibekalkan kepada 19,500 orang pengguna dadah,” katanya.

Antara dadah dipercayai heroin,syabu dan pil eramin 5 bernilai RM470,979.00 yang berjaya di rampas pihak polis.

Sementara itu, Dato’ Abd. Jalil berkata pihak polis telah menjalankan satu operasi ‘Op Sarang Khas’ di seluruh negeri ini pada Isnin lepas.

“Op Sarang ini menyasarkan sepuluh sarang penagih dadah yang dikenalpasti dan pihak polis telah berjaya menahan 199 orang kerana pelbagai kesalahan dadah daripada 241 orang yang telah diperiksa.

“Usaha berterusan akan dilaksanakan untuk membasmi masalah dadah di sekitar negeri ini dan sebarang maklumat kegiatan atau aktiviti dadah boleh disalurkan ke Pusat Kawalan Kontinjen Pahang (CCC) di talian 09-5051999/2202 dan juga hotline JSJN ditalian 012-2087222 atau mana -mana balai polis berdekatan,” katanya.

Untuk rekod, jumlah kes dan tangkapan berkaitan dadah di negeri ini sepanjang Januari sehingga Jun menunjukkan penurunan berbanding tempoh sama pada tahun lepas.

Jumlah kes berkaitan dadah yang direkodkan pada tahun ini adalah sebanyak 4,814 kes berbanding 5,335 kes pada tempoh sama tahun lepas dengan penurunan sebanyak 10 peratus.

Bagi jumlah tangkapan pula, sepanjang Januari sehingga Jun tahun ini, sebanyak 5,430 tangkapan telah dilakukan berbanding 6,235 tangkapan dalam tempoh sama pada tahun lepas iaitu penurunan sebanyak 1.3 peratus. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download