Oleh: Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 15 OKTOBER 2020: Polis melaksanakan 16 sekatan jalan raya (SJR) di seluruh negeri ini bagi memantau pergerakan rentas negeri berikutan penularan wabak COVID-19.
Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Pahang, YDH SAC Dato’ Abdul Aziz Haji Salleh berkata, kesemua SJR ini dilaksanakan di kawasan yang bersempadan dengan negeri lain iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Johor, Perak, Terengganu dan Kelantan.
“Tumpuan utama kita adalah untuk kenderaan yang datang dari negeri-negeri yang telah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakkan Bersyarat (PKPB),” katanya ketika dihubungi Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) hari ini.
Beliau berkata, seramai 110 anggota ditugaskan di semua sekatan jalan raya bagi memastikan pemantauan dapat dijalankan dengan berkesan.
“Sekatan jalan raya ini telah bermula sejak seminggu lalu turut mengarahkan mana-mana kenderaan yang tidak mempunyai surat kebenaran dari pihak polis untuk berpatah balik.
“Namun pengecualian diberikan bagi mereka yang memiliki surat kebenaran dari majikan atau yang melibatkan hal kecemasan,” katanya.
Menurut beliau, setakat ini kira-kira 2,500 buah hingga 3,000 buah kenderaan telah diperiksa setiap hari dalam sekatan jalan raya yang dijalankan.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang telah digariskan dan bergerak jika perlu sahaja bagi mengekang wabak COVID-19 dari terus menular. – PAHANGMEDIA
3,448 total views