Ketua Polis Pahang, YDH CP Dato' Sri Abd Jalil Hassan menunjukkan keratan hantaran di laman sosial berhubung penjualan tanah hak milik Perbadanan Setiausaha Kerajaan Pahang pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Pahang, di Kuantan hari ini.

POLIS PAHANG KESAN IKLAN JUAL TANAH PSK PALSU DI LAMAN SOSIAL

Oleh: Fairus Mohd

KUANTAN, 6 JANUARI 2021: Polis mengesan aktiviti penjualan tiga bidang tanah berkeluasan 2200 hektar milik Perbadanan Setiausaha Kerajaan (PSK) Pahang di laman sosial Facebook dan Mudah.my tanpa kebenaran pihak berkenaan.

Ketua Polis Pahang, YDH CP Dato’ Sri Abd Jalil Hassan berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kes berkenaan yang dibuat oleh Penolong Setiausaha Kanan, Perbadanan Setiausaha Kerajaan Pahang.

Ketua Polis Pahang, YDH CP Dato’ Sri Abd Jalil Hassan menunjukkan salinan surat palsu kononnya ditandatangani Ketua Polis Pahang bagi memperdayakan mangsa oleh sindiket Macau Scam pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Pahang, di Kuantan hari ini.

“Pengadu mendakwa menerima mesej menerusi aplikasi WhatsApp pada 10.30 pagi, 28 Disember lalu daripada seorang individu yang ingin mendapatkan pengesahan mengenai penjualan tanah yang terletak di Ulu Tembeling dan Pedah, Jerantut.

“Menurut laporan, tanah berkenaan kononnya djual pada harga RM11,000 seekar dan pihak polis telah berjaya mengesan seorang broker tanah berusia 30-an bagi membantu siasatan. Orang ramai yang turut menerima tawaran sama di media sosial juga diminta tampil atau menghubungi polis untuk membantu siasatan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, hari ini.

Dato’ Sri Abd Jalil berkata, laporan yang dibuat bertujuan mengelakkan orang awam ditipu kerana pihak Perbadanan Setiausaha Kerajaan Pahang tidak pernah melantik mana-mana pihak bagi urusan penjualan kesemua tanah berkenaan.

“Hasil semakan secara lisan dan belum rasmi melalui Pejabat Tanah Daerah Jerantut, status milikan adalah tanah milik Perbadanan Setiausaha Kerajaan Pahang.

“Kes tersebut kini disiasat dibawah Seksyen 450/511 Kanun Keseksaan,” katanya.

 

Sementara itu dalam kes berasingan, Polis Pahang berjaya mengesan taktik baharu sindiket Macau Scam yang menggunakan surat palsu kononnya ditandatangani Ketua Polis Pahang bagi memperdaya mangsa untuk memindahkan wang ke akaun mereka.

“Surat yang menggunakan kepala surat Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu mendakwa, penerimanya perlu memindahkan wang atau ditangkap atas alasan terbabit dalam penyeludupan dadah dan penggubahan wang haram berjumlah RM228,000.

“Surat itu juga mendakwa jika penerima enggan bekerjasama, maka waran tangkap akan dilaksanakan serta-merta dan semua aset serta akaun bank miliknya akan dibekukan selama dua tahun lima bulan, selain direman 45 hari,” katanya.

Kes penyamaran sebagai pegawai polis untuk memperdaya orang awam itu kini disiasat di bawah Seksyen 416 Kanun Keseksaan. -PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

 872 total views,  6 views today

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download