Oleh: Muhammad Shahrinnahar Abd Latib
Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi
PEKAN, 20 JUN 2020: Polis meminta calon bertanding dan penyokong mematuhi SOP berkempen seperti yang digariskan sepanjang tempoh Pilihan Raya Kecil (PRK) N23 Chini.
Ketua Polis Pahang, CP Dato’ Abd Jalil Hassan berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah membenarkan untuk mengadakan ceramah, namun calon perlu memohon permit sehari sebelum mengadakan ceramah di tempat statik dengan tidak melebihi 250 orang.
“Tetapi kempen dari rumah ke rumah tidak memerlukan permit, namun hanya tiga individu sahaja yang dibenarkan berkempen denga mematuhi SOP, ” katanya ketika ditemui selepas berakhirnya proses penanaman calon Dewan Negeri Chini
di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di sini hari ini.
Beliau berkata, PRK DN Chini akan menjadi medan contoh terbaik untuk dijadikan panduan bagi pelaksanaan pilihan raya.
Katanya, ini kerana situasi PRK Chini begitu berbeza berbanding sebelum ini berikutan penularan pandemik COVID-19.
“PRK Chini adalah contoh terbaik untuk pilihan raya akan datang. Kalau ada pilihan raya secara mengejut bagaimana pihak polis mengawal penyokong parti.
“Kita juga memastikan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan sepanjang pilihan raya diadakan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, seramai 600 hingga 650 anggota polis akan bertugas sepanjang 14 hari sehingga hari pengundian 4 Julai depan.
Menurutnya, anggota ini akan membuat pemantauan dan memastikan kempen berjalam dengan lancar dengan pematuhan SOP. – PAHANGMEDIA