Sekatan jalan raya (SJR) yang dilaksanakan oleh pihak polis di Tanah Putih.

POLIS KUANTAN TERIMA 9,422 PERMOHONAN PERMIT PERGERAKAN SEJAK 13 JANUARI

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 27 JANUARI 2021 : Pihak polis telah menerima 9,422 permohonan permit pergerakan rentas daerah dan negeri sejak 13 Januari lepas sehingga semalam.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Tuan ACP Mohamad Noor Yusof Ali berkata, permohonan ini melibatkan pelbagai sebab termasuklah permohonan daripada pasangan suami isteri yang tinggal berjauhan.

“Daripada jumlah ini, kita telah meluluskan 8,631 permohonan dan bakinya iaitu 791 permohonan telah ditolak atas sebab tiada dokumen sokongan, tidak mematuhi syarat kelulusan pergerakan yang ditetapkan, serta melibatkan sektor atau aktiviti yang tidak tersenarai dalam perkhidmatan penting.

“Setakat tengah hari ini juga, kita telah menerima tujuh permohonan rentas negeri oleh pasangan PJJ dan kita jangkakan jumlah ini akan meningkat pada hujung minggu nanti,” katanya.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Tuan ACP Mohamad Noor Yusof Ali

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengadakan Lawatan Sekatan Jalan Raya (SJR) Trafik Jalan Tanah Putih Sempena Penerimaan Sumbangan Untuk Petugas Barisan Hadapan oleh pihak McDonalds.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang, Tuan Nazili Kadir; dan Perunding Operasi McDonalds Malaysia Kuantan, Encik Mohd Arif Abd Hadi.

Sebanyak 100 bungkusan makan telah disumbangkan oleh pihak McDonalds Malaysia kepada 83 petugas melibatkan pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), dan JPJ di lima lokasi SJR di seluruh daerah ini.

Beliau dalam masa yang sama berkata orang ramai di daerah ini dilihat patuh dengan SOP dan arahan yang telah dikeluarkan terutamanya sepanjang PKP dijalankan.

“Kita merekodkan 96 peratus peratusan pematuhan oleh orang ramai sepanjang PKP dijalankan di daerah ini.

“Ini dinilai dari segi pematuhan norma baharu melibatkan pemakaian pelitup muka, penjarakan sosial, dan amalan kebersihan selain dinilai dari kepatuhan SOP oleh pemilik premis-premis perniagaan,” katanya. -PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download