Ketua Polis Pahang, YDH CP Dato' Sri Abd Jalil Hassan.

POLIS JALIN KERJASAMA DENGAN AJK KUIL BAGI PEMATUHAN SOP DEEPAVALI

Oleh: Ain Nadhirah Basha

KUANTAN, 10 NOVEMBER 2020: Pihak polis akan bekerjasama dengan Ahli Jawatankuasa (AJK) kuil berkaitan arahan dan susun atur sambutan Deepavali, Sabtu ini bagi memastikan Prosedur Operasi Standard (SOP) perayaan yang dikeluarkan dipatuhi.

Ketua Polis Pahang, YDH CP Dato’ Sri Abd Jalil Hassan berkata, pihak polis juga akan melakukan pemantauan dari luar kawasan kuil ketika sambutan perayaan Deepavali ini.

“Antara SOPnya adalah tidak melebihi 30 orang dalam satu-satu masa. Jadi syarat-syarat ini orang ramai atau penganut-penganut Hindu boleh muat turun di laman web Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang mana telah dijelaskan terdapat empat masa yang telah diberikan bermula pada pukul 7 pagi dah tamat pada 12 tengahari di semua kuil-kuil di negara ini.

“Pihak Ketua Polis Daerah juga kita telah minta untuk berbincang dengan AJK kuil yang mana mereka bertanggungjawab untuk memastikan SOP ini dipatuhi oleh mereka-mereka yang berkunjung ke kuil-kuil pada Sabtu ini,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, AJK kuil juga bertanggungjawab untuk memantau dan melicinkan pergerakkan keluar masuk mereka ke kuil pada hari tersebut.

“Tanggungjawab ini akan digalas bersama dengan pasukan-pasukan sahabat di daerah-daerah yang akan dikoordinasi oleh pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

“Saya berharap agar penganut beragama Hindu akan melaksanakan sembahyang mereka dengan licin dan patuhilah masa yang telah ditetapkan iaitu bermula pada pukul 7 pagi sehingga selesai,” katanya.

Mengulas mengenai sekatan jalan raya (SJR) di pintu-pintu masuk ke negeri ini, beliau berkata, ia bertujuan untuk memeriksa kenderaan yang melalui dan memasuki negeri ini mempunyai kebenaran rentas negeri yang sah.

“Tanpa kelulusan pergerakkan daripada balai-balai atau tujuan kerja dan kecemasan seperti yang telah terdapat dalam SOP yang telah diuar-uarkan oleh pihak MKN, kenderaan akan diarahkan untuk berpatah balik.

“Pihak polis juga akan meletakkan kereta peronda untuk membuat snap check jadi kita tidak akan tertipu dengan mereka yang cuba melalui lorong-lorong tikus yang ada di sepanjang sempadan Negeri Pahang,” katanya. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

 501 total views

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download
error: