Anggota polis membantu seorang mangsa banjir. - Ihsan Polis Pahang

POLIS JALANKAN RONDAAN 24 SEHARI DI KAWASAN PENEMPATAN BANJIR

Oleh: Ain Nadhirah Basha
Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 06 JANUARI 2021: Pihak polis melaksanakan rondaan 24 jam sehari di kawasan penempatan mangsa banjir untuk mengelak kes pencerobohan rumah.

Ketua Polis Pahang, YDH CP Dato’ Sri Abd Jalil Hassan berkata, justeru mangsa banjir tidak perlu khuatir dengan keselamatan harta benda yang ditinggalkan di kediaman masing-masing.

Ketua Polis Pahang, YDH CP Dato’ Sri Abd Jalil Hassan.

“InsyaAllah keselamatan harta benda mereka yang mereka tinggalkan di rumah akan dijaga sepenuhnya oleh pihak Polis Kontinjen Pahang atau pihak polis daerah masing-masing.

“Jangan khuatir kerana pihak polis akan membuat rondaan 24 jam di taman-taman perumahan yang ditinggalkan atau kawasan-kawasan perumahan yang ditinggalkan dengan menggunakan bot atau kaedah-kaedah yang boleh dijamin keselamatan rumah-rumah mereka,” katanya ketika ditemui di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Wisma Belia di Indera Mahkota, hari ini.

Beliau berkata, pihak polis juga menggunakan sepenuhnya pegawai dan anggotanya bagi membantu di kawasan yang terjejas banjir di seluruh negeri ini.

“Buat masa ini keanggotaan pegawai dan anggota telah digunakan sepenuhnya di setiap daerah dan dibantu oleh Pasukan Gerakan Am Briged Tenggara Galing seramai 120 orang anggota yang ditempatkan di sepuluh daerah,” katanya.

Anggota polis membuat pemantauan banjir di Temerloh. – Ihsan Polis Pahang

Beliau turut meminta pihak Badan Bukan Kerajaan (NGO) atau pihak persendirian yang ingin memberi bantuan kepada mangsa banjir supaya terus ke Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) masing-masing.

“InsyaAllah bantuan-bantuan, sumbangan-sumbangan tuan puan mesti sampai kepada mangsa melalui PKOB,” katanya.

Selain itu, beliau turut menasihatkan orang ramai untuk mematuhi arahan pihak berkuasa bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini daripada berlaku.

“Selain daripada itu, ingin pihak polis menasihatkan kepada keluarga-keluarga mangsa banjir agar melihat anak-anak mereka daripada bermain air diluar kawasan banjir.

“Sebab kita lihat ada kematian yang berlaku dalam musim banjir ini di negeri Pahang. InsyaAllah kalau pihak keluarga masing-masing menjaga ahli keluarga mereka daripada bermain air diluar, kemalangan jiwa ini dapat dielakkan,” katanya. -PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

 584 total views,  3 views today

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download