Oleh: Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 16 OKTOBER 2020: Polis daerah ini telah meluluskan 833 permohonan permit pergerakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sejak Rabu lalu sehingga hari ini.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Tuan Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, permohonan permit yang bermula melibatkan permohonan bagi memasuki kawasan yang diisytiharkan sebagai kawasan PKPB dari daerah ini.
“Pada hari pertama iaitu Rabu lepas, sebanyak 263 permohonan telah diluluskan dan jumlah ini semakin meningkat pada Khamis iaitu sebanyak 270 permohonan.
“Bagi hari ini kita merekodkan sebanyak 300 permohonan di kaunter yang kita buka di sini (Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan) bermula 8 pagi sehingga 5 petang,” katanya ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) hari ini.
Beliau berkata, pihak IPD Kuantan juga telah menampal notis pemakluman kategori pergerakan yang dibenarkan bagi memudahkan orang ramai yang ingin mendapatkan kebenaran permit PKPB ini.
“Mereka yang diberi kelulusan permit ini adalah daripada perkhidmatan penting, tugas dan kecemasan sahaja. Bagi permohonan lain seperti ziarah keluarga dan ambil anak, itu kita tidak benarkan.
“Jadi kita memang teliti setiap permohonan. Memang kita diarahkan untuk memudahkan urusan tapi kita tetap teliti kalau ia tidak bertepatan dengan arahan untuk membenarkan pergerakan.
“Kita juga ingin menasihatkan orang ramai yang bergerak melintas sekatan jalan raya supaya ada permit yang dibenarkan dan meminta pihak majikan supaya membekalkan pekerja dokumen yang lengkap bagi memudahkan urusan semua pihak,” katanya.
Menurut beliau lagi, setakat ini Kuantan merekodkan pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh pihak kerajaan.
“Secara keseluruhan di Kuantan, kita melihat peratusan terhadap pematuhan SOP yang digariskan adalah tinggi namun masih ada pelanggaran,” katanya. – PAHANGMEDIA
331 total views