Pihak berkuasa yang melaksanakan sekatan jalan raya yang dilaksanakan di Pahang. - GAMBAR FAIL

PKPB: DUA SJR DIBUKA DI KUANTAN

Oleh : Ain Nadhirah Basha

KUANTAN, 13 JANUARI 2021: Dua sekatan jalan raya (SJR) dilaksanakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di pintu masuk ke daerah ini bagi memantau pergerakan rentas negeri oleh orang ramai berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB)

Ketua Polis Daerah Kuantan, Tuan Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, sekatan jalan raya ini dijalankan di dua kawasan iaitu Cherating dan juga Plaza Tol Kuantan bagi memantau pergerakan rentas negeri.

“Ini berikutan PKPB yang berkuatkuasa 12 tengah malam hari ini yang melibatkan negeri Pahang,” katanya ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP), di Kampung Ubai, Pekan.

Beliau berkata, seramai 18 anggota ditugaskan bagi memastikan pemantauan dapat dijalankan dengan berkesan dan mereka akan bertugas selama 24 jam mengikut sistem penggiliran bersama dengan pihak tentera.

“Petugas SJR ini akan menapis kemasukan orang ramai dan memastikan mereka yang hendak masuk ke Kuantan mempunyai surat kebenaran rentas negeri atau dokumen berkaitan,” katanya.

Mengulas mengenai permohonan surat kebenaran rentas negeri, beliau berkata pihak IPD Kuantan akan dibuka 24 jam bagi tujuan ini.

“Kita sudah menyediakan pegawai bersama pasukan khas untuk mengendalikan perkara ini di balai-balai polis di Kuantan dan di IPD Kuantan sendiri.

“Namun demikian, kita minta pemohon yang nak memohon kebenaran ini untuk memastikan mereka berada dalam ruang lingkup yang dibenarkan atau mereka dinasihatkan untuk batalkan niat mereka jika sekadar mencuba,” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang telah digariskan dan bergerak jika perlu sahaja bagi mengekang wabak COVID-19 dari terus menular.

“Harap ini (PKPB) akan menjadi satu penghujung kepada penularan wabak COVID-19 ini tambahan pula semua pihak sepatutnya sudah faham apa yang patut dibuat dan tidak.

“Pihak polis tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas untuk memperkasakan undang-undang di semua aspek bagi memutuskan terus rangkaian wabak ini,” katanya. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

 20,775 total views,  260 views today

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download