Menteri Besar Pahang, YAB Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail (kanan) menyantuni petugas keselamatan ketika melakukan Ziarah Aidilfitri di SJR Tol Kuantan malam tadi.

PKPB DILANJUT SEKIRANYA BERLAKU PENINGKATAN KES COVID-19

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 24 MEI 2020 : Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mungkin akan dilanjutkan sekiranya bilangan kes COVID-19 semakin meningkat.

Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata kerajaan tidak mempunyai pilihan lain selain melanjutkan tempoh PKPB jika keadaan ini tidak menunjukkan penurunan.

“Kalau keadaan (penularan COVID-19) terus meningkat, setiap hari ada kes, kerajaan tidak ada pilihan lain (selain) untuk meneruskan PKPB ini.

“Jadi harapan saya supaya rakyat negeri Pahang terus mematuhi arahan PKP Bersyarat ini kerana hanya kita sahajalah yang mampu memutuskan penularan wabak COVID-19 ini,” katanya.

Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail (kanan) menyantuni petugas keselamatan ketika melakukan Ziarah Aidilfitri di Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah, Kuantan malam tadi.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melakukan Ziarah Aidilfitri di Sekatan Jalan Raya (SJR) di Tol Kuantan malam tadi.

Turut hadir, YB Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak; dan Timbalan Ketua Polis Pahang, DCP Dato’ Mohd Yusri Hassan Basri.

Beliau turut melahirkan rasa berpuas hati dengan tahap kepatuhan rakyat negeri Pahang terhadap arahan oleh kerajaan berkaitan kebenaran merentas negeri.

“Ketika saya sampai tadi, saya lihat tidak banyak kenderaan. Kenderaan yang ada lebih kurang empat buah kenderaan. Dan bila saya bertanyakan ke mana arah mereka, mereka mengatakan pergi ke Jerantut atau pun ke Raub. Maknanya merentasi daerah. Tidak ada yang merentasi negeri. Jadi boleh saya katakan bahawa semuanya mematuhi arahan yang telah dikeluarkan oleh kerajaan.

“Saya sangat berasa gembira, merasa bangga juga kerana rakyat negeri Pahang dapat mematuhi arahan yang telah dikeluarkan oleh kerajaan.

“Dan ini satu yang sangat menggembirakan kita semua kerana kita dapati tidak ada usaha-usaha untuk menyelinap atau pun untuk mengemukakan pelbagai alasan dan sebagainya untuk merentasi negeri. Jadi kereta yang ada tadi pun hanya untuk pergi ke daerah-daerah sahaja,” katanya.

Beliau turut berharap supaya rakyat negeri Pahang terus mematuhi arahan PKPB ini bagi memutuskan penularan wabak COVID-19 ini.

“Kalau kita bergerak ke sana sini, bebas ke sana sini, kita ikut perasaan untuk beraya di kampung, walaupun kerajaan membenarkan tidak lebih daripada 20 orang, tetapi pandangan dan nasihat saya, eloklah kita duduk di rumah dalam keadaan yang macam ni.

“Kerana kita sangat berharap supaya wabak ini dapat diputuskan seberapa segera yang mungkin dan kita semua akan dapat menjalani kehidupan seperti biasa,” katanya.-PAHANGMEDIA

 

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download
Please follow and like us:
error
error: