Sekatan jalan raya (SJR) di Kilometer 1, Jalan Pekan-Batu Balik (Simpang Pulau Keladi).

PKP DI DAERAH PEKAN BERJALAN LANCAR

Oleh: Fairus Mohd

PEKAN, 25 JANUARI 2021: Pekan berada dalam keadaan terkawal berikutan pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang baik di kalangan penduduk walaupun telah dilabelkan dalam zon jingga kerana memiliki taburan kes positif COVID-19 harian.

Pegawai Daerah Pekan, YH. Dato’ Zaliza Zulkefli berkata, premis-premis perniagaan juga mematuhi SOP dengan menyediakan kod QR, buku daftar kehadiran pelanggan, alatan penyaring suhu dan mewajibkan pemakaian pelitup separuh muka terhadap semua pekerja dan pelanggan.

“Tiga lokasi sekatan jalan raya kini dilaksanakan di Kilometer (KM) 15 Jalan Kuantan-Pekan, KM 1 Jalan Pekan-Batu Balik (Simpang Pulau Keladi) serta Jalan Tanjung Gosong bagi memantau pergerakan keluar masuk kenderaan di daerah ini.

“Bermula 22 Januari lalu, sebanyak 12,371 buah kenderaan telah diperiksa dan 71 buah telah diarahkan berpatah balik kerana tidak mempunyai alasan kukuh dan kebenaran pihak berkuasa untuk merentas daerah,” katanya ketika dihubungi UKOMP, hari ini.

Dalam pada itu katanya, sebanyak 942 permit telah di mohon oleh 753 individu dan 189 buah syarikat sepanjang tempoh tiga hari Perintah Kawalan Pergerakan.

“Daripada jumlah berkenaan, sebanyak 23 permohonan telah ditolak kerana tidak memenuhi syarat dan keperluan sepanjang PKP.

“Bagi tempoh sama juga, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Pekan melaksanakan proses disinfeksi di empat lokasi yang dikunjungi pesakit COVID-19 bagi memastikan persekitaran kekal selamat,” katanya.

Secara peribadi, beliau berpuas hati dengan kepatuhan penduduk di daerah ini dan berharap agar displin yang ada dapat dikekalkan bagi memastikan tiada kes positif dicatatkan pada hari seterusnya. -PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download