Nur Athirah Mohamad Zaini, 19, bersama kedua ibu bapanya.

PKP BUKAN PENGHALANG UNTUK MUNCUL CEMERLANG

Oleh: Fairus Mohd
Foto: Muhammad Muslimi Abd Rahim

KUANTAN, 10 FEBRUARI 2021: Tidak dapat belajar secara bersua muka dengan pensyarah bukanlah satu halangan bagi Nur Athirah Mohamad Zaini, 19, untuk mencipta kecemerlangan sekaligus mengharumkan nama negara dengan pencapaiannya.

Menurut anak jati Kuantan, Pahang yang juga penuntut di INTEC Education College di Shah Alam, Selangor itu, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan akibat penularan pandemik COVID-19 bukan satu alasan untuk tidak belajar.

“Ramai yang cakap bila MCO (PKP) ni susahnya nak belajar, tapi bagi saya MCO ini atas diri kita fikir, kalau fikir positif jadi positif. Masa pun jadi lagi banyak bila kita berada di rumah, jadi perlu gunakan dengan baik.

“Bila dalam kelas (online/bersemuka) perlu fokus, kalau mengantuk cari cara untuk hilangkan seperti bawa kopi atau gula-gula. Saya juga banyak buat latihan dan tengok balik kesilapan-kesilapan yang pernah buat supaya tidak ulang kesilapan yang sama selain memahami sesuatu topik pelajaran dengan mendalam,” katanya ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) di Wisma Pahang, di sini hari ini.

Sebelum itu beliau menerima sumbangan dari Yayasan Pahang yang disampaikan oleh Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail.

Bercita-cita untuk menjadi akauntan profesional, Nur Athirah turut berkongsi rahsia cemerlang iaitu dengan menjaga hubungan dengan Allah SWT, ibu bapa, guru, pensyarah serta orang di sekeliling.

Anak keempat dari lima beradik ini juga berhasrat untuk menyambung pengajian dalam professional accounting program ACCA (Associated of Chartred Certified Accountant) selepas dijangka tamat kursus Certified Accounting Technician (CAT) pada Oktober ini di INTEC.

Sementara itu ibu Nur Athirah, Noorhaslinda Mat Ali, 49, turut menyatakan rasa syukur atas kejayaan anaknya dan akan terus memberi semangat serta dorongan agar dia terus fokus dalam menuntut ilmu.

“Saya dan suami, Mohamad Zaini Ismail, 59, amat bersyukur dengan pencapaian Athirah yang telah membuktikan usaha yang bersungguh-sungguh mampu menghasilkan kejayaan yang manis.

Nur Athirah Mohamad Zaini, 19.

“Walaupun kami bukanlah keluarga yang kaya, namun sokongan serta tajaan Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) di bawah kelolaan MyPAC sejak tahun lepas amat bermakna kepada Nur Athirah untuk menyambung pelajarannya,” katanya.

Nur Athirah mengharumkan nama negara selepas tersenarai pada kedudukan kedua dunia selepas memperolehi markah tinggi bagi peperiksaan Certified Accounting Technician (CAT) pada Disember tahun lalu.

Beliau memperoleh tempat pertama di Malaysia dan kedua di dunia bagi kertas Maintaining Financial Records (FA2), yang menyaksikan penuntut di INTEC Education College itu berkongsi tempat dengan pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM), Putera Aiman Abdul Rashid, 19. -PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download