Peserta Berkhatan Teruja Disiram Bomba

Ain Nadhirah Basha

KUANTAN : “Tak sabar nak balik cerita dengan kawan-kawan lain dapat mandi bomba semburkan,” kata Amar Irfan Abdullah, salah seorang daripada 15 peserta Orang Asli yang berkhatan hari ini.

Amar Irfan, 7, anak Orang Asli dari Kampung Sungai Mas, Sungai Lembing adalah antara 120 anak-anak berumur 7 hingga 12 tahun dari golongan kurang berkemampuan yang terpilih mengikuti Program Moh Bersunat Weh yang ditaja oleh Yayasan Pahang, di Hospital Pakar KPJ Pahang, di sini.

Seorang kanak-kanak ditenangkan oleh keluarga ketika proses berkhatan

Dia yang kelihatan teruja menunggu giliran untuk berkhatan mengakui kawan-kawan ada bercerita mengenai kesakitan berkhatan namun dia tetap tidak merasa takut.

“Kawan-kawan ada cakap berkhatan ini sakit tapi saya tak rasa takut. Rasa tak sabar nak berkhatan sebab nak jadi orang besar.

“Tadi bila bomba sembur dengan air, rasa seronok sangat sebab ini pertama kali saya tengok dan turut serta,” katanya.

Program Moh Bersunat Weh ini dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pelajaran dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pelajaran dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad menyuap pulut kuning kepada seorang peserta program berkhatan.

Turut hadir Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), YH. Dato’ Syed Ahmad Fuad Syed Taha; Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pahang, YH. Dato’ Mahmud Mohd Nawawi; Pengerusi Hospital Pakar KPJ Pahang, Tuan Haji Mohd Johar Ismail; Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Pakar KPJ Pahang, Tuan Haji Yasser Arafat Ishak dan Pengarah Perubatan Kuantan Wellness and Care Centre (KCWC), YH. Dato’ Dr. Haji Khaled Mat Hassan.

Sementara itu, Omar Samah, 45, dari Kampung Alur Beruang, Sungai Soi berkata, dia mendaftarkan anak sulungnya, Fazli Omar, 11, menyertai program ini setelah diberitahu oleh ustaz JAIP yang mengajar di kampungnya.

“Saya rasa berdebar sebab ini anak sulung, pengalaman pertama saya anak berkhatan tapi tetap kena juga sebab ia perkara wajib dalam agama Islam selain untuk menjaga kebersihan.

“Saya beritahu Fazli seminggu sebelum program ini dan dia sebenarnya tak mahu berkhatan kerana kawan-kawan bercerita sakit seperti kena gigit harimau,” katanya yang merupakan Orang Asli suku Jakun.

Tambahnya lagi, dia berterima kasih kepada pihak KPJ, Yayasan Pahang dan JAIP kerana menganjurkan program seumpama ini kerana ia memudahkan orang ramai untuk urusan berkhatan.

Sementara itu, Pengerusi Hospital Pakar KPJ Pahang, Tuan Haji Mohd Johar berkata, program ini diharap dapat mengurangkan beban kewangan ibu bapa yang kurang berkemampuan bagi menjalankan tanggungjawab mengkhatankan anak mereka.

“Ia juga bertujuan mengeratkan silaturrahim dengan masyarakat setempat dan diharap dapat meningkatkan pengetahuan khususnya kepada anak-anak muda akan kepentingan berkhatan yang menjadi amalan agama Islam,” katanya.

Seramai 13 doktor dan pembantu pegawai perubatan, 50 jururawat serta hampir 50 pekerja sokongan turut terlibat dalam program ini selain mendapat kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Bukit Ubi.

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download