Oleh: Mahathir Ali
PEKAN 12 DISEMBER 2020: Pesakit terlantar seperti mereka yang diserang angin ahmar sememangnya memerlukan penjagaan khusus dan perhatian yang rapi bagi memastikan mereka beransur pulih serta dihindari daripada penyakit lain.
Perkara tersebut ditekankan Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff yang juga Ahli Dewan Negeri Bebar ketika menziarahi beberapa orang pesakit yang terlantar di Kampung Merchong dan Temai di sini semalam.
Menurutnya, Kerajaan Negeri pimpinan Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail sentiasa mengambil berat dan berterusan membela nasib rakyat yang ditimpa ujian penyakit.
Katanya, malah Ahli Parlimen Pekan, YB Dato’ Sri Najib Tun Razak juga tidak pernah lupa untuk mengambil tahu dan menghulurkan bantuan kepada pesakit-pesakit di daerah Pekan.
“Alhamdulillah, saya dapat menyempurnakan penyampaian dua buah katil boleh laras sumbangan Kerajaan Pahang kepada dua orang pesakit yang kini uzur dan terlantar, malah saya juga telah menyampaikan bantuan barang keperluan serta sumbangan kewangan kepada tiga lagi keluarga pesakit untuk meringankan beban mereka menguruskan keluarga mereka yang sedang ditimpa ujian ini.
“Kesemua sumbangan ini sentiasa dapat dilaksanakan kerana Kerajaan Negeri mempunyai kewangan yang mencukupi daripada hasil yang meningkat, dengan itu lebih banyak bantuan dapat disalurkan kepada mereka yang memerlukan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menziarahi dan menyampaikan sumbangan kepada Ketua Kampung Merchong, En. Mohamad Akher Bin Yunus yang kini terlantar akibat penyakit yang dihidapinya.
Beliau juga mengingatkan semua pihak termasuk keluarga pesakit agar mengambil berat dengan menjaga pesakit terlantar sebaik mungkin dan memberi perhatian khusus kepada mereka termasuk aspek kebersihan.
“Ianya amat penting bagi memastikan kesihatan mereka bertambah baik dan dapat menghindari mereka dari terdedah kepada risiko penyakit yang lain pula,” jelasnya.
Beliau juga meminta agar keluarga pesakit segera melaporkan masalah yang dihadapi termasuk membuat permohonan keperluan mereka dengan segera kepada Penghulu, Ketua Kampung dan pejabat Dewan Negeri agar tindakan segera dapat diambil.
“Perkara ini sering saya tekankan kerana kerjasama dan komunikasi yang baik antara semua pihak amat penting agar bantuan dapat disalurkan segera demi kebaikan semua pihak,” tambahnya. – PAHANGMEDIA
920 total views, 3 views today