PESAKIT MENTAL TIKAM LELAKI DI PASAR BESAR DITAHAN

Oleh: Ain Nadhirah Basha

KUANTAN, 26 JANUARI 2021: Polis menahan seorang lelaki dipercayai pesakit mental selepas bertindak menikam seorang warga emas di Pasar Besar Kuantan pagi Ahad lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, YDH. Dato’ Othman Nayan berkata, lelaki berusia 40 tahun tersebut ditahan selepas anak mangsa membuat laporan polis berkenaan insiden tersebut.

“Mangsa yang berusia 73 tahun telah ditikam di kawasan tempat letak kereta Pasar Besar Kuantan.

“Hasil siasatan oleh pihak polis mendapati, pada Ahad lepas, lebih kurang 10.30 pagi semasa mangsa bersama isterinya di kawasan tempat letak kereta Pasar Besar Kuantan, telah didatangi oleh satu lelaki yang tidak di kenali dan menikam mangsa menggunakan senjata yang dipercayai sebilah pisau di bahagian pinggang sebelah kanan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, mangsa telah mendapatkan rawatan di klinik UTC Kuantan sebelum dipindahkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk rawatan lanjut.

“Mangsa kini dirawat di wad ICU HTAA Kuantan disebabkan kecederaan serius di bahagian pinggang sebelah kanan. Siasatan di tempat kejadian juga telah menemui sebilah pisau yang di percayai digunakan untuk menikam mangsa,” katanya.

Katanya lagi, hasil semakan pihak polis, suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau namun memiliki kad rawatan pesakit mental di HTAA.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dengan menggunakan senjata berbahaya dan jika disabitkan boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau kedua-duanya,” katanya. -PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download