PERUNTUKKAN RM7 JUTA BANTU LANCAR USAHA JKKK

Oleh: Fairus Mohd
Foto: Mahathir Ali

PEKAN, 31 JANUARI 2020: Peruntukan sebanyak RM7 juta oleh Kerajaan Negeri Pahang yang diumumkan oleh Menteri Besar Pahang, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail pada Rabu lalu membantu melancarkan segala usaha yang dilakukan pengurusan sesebuah Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK) terhadap komunitinya.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Teknologi Hijau, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, bagi permulaan sahaja kerajaan negeri telah mengeluarkan RM2.7 juta bagi tujuan pembayaran elaun Pengerusi JKKK serta sumbangan kepada 542 buah JKKK di negeri ini.

Menurutnya, jumlah berkenaan menangkis dakwaan bahawa kerajaan negeri tidak mampu menanggung perbelanjaan dan keperluan JKKK sekaligus menolak kewujudan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Persekutuan (MPKKP) yang menimbulkan kekeliruan sebelum ini.

“Kita akui kewujudan MPKKP yang diumumkan oleh Kerajaan Persekutuan telah banyak menimbulkan kekeliruan dan lebih kepada memecahbelah anggota masyarakat.

“Seharusnya pentadbiran kampung diletakkan di bawah kerajaan negeri agar mudah untuk kita menyampaikan maklumat serta perancangan yang ingin dilaksanakan oleh kerajaan negeri,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Watikah Perlantikan Pengerusi JKKK daerah Pekan serta Sumbangan Kerajaan Negeri kepada semua JKKK terlibat.

Seramai 72 orang Pengerusi JKKK di empat Dewan Undangan Negeri (Dun) bawah daerah Pekan menerima watikah pelantikan itu hari ini.

Pada majlis sama, mereka turut menerima RM500 elaun pertama bulan Januari serta mewakili JKKK masing-masing menerima sumbangan kerajaan negeri sebanyak RM5,000 bagi membantu melancarkan urusan pentadbiran kampung dengan baik.

Turut hadir, Pegawai Daerah Pekan, YH. Dato’ Zaliza Zulkifli; ADUN Peramu Jaya, YB. Dato’ Sri Haji Sh Mohmed Puzi Sh Ali; ADUN Pulau Manis, YB. Dato’ Khairuddin Mahmud serta ADUN Chini, YB. Dato’ Sri Abu Bakar Haji Harun.

Sementara itu, menyentuh berkenaan keperluan pendedahan terhadap aplikasi terkini PahangGo, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin berkata ia perlu bagi memastikan kemudahan yang tersedia dimanfaat sebaik mungkin.

“Pihak saya sentiasa bersedia jika ketua kampung memerlukan kursus, penerangan dan penjelasan mengenai kepentingan penggunaan multimedia termasuk Facebook, Twitter, Instagram atau aplikasi kita sendiri iaitu PahangGo.

“Kita lihat ilmu ini sangat perlu di zaman serba pantas kini kerana mereka berperanan menyampaikan maklumat penting kepada masyarakat di peringkat akar umbi masing-masing, tambahan lagi aplikasi yang diwujudkan ini bakal memberi pelbagai kemudahan kepada rakyat dan pelancong yang datang ke negeri ini,” katanya.

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download