Oleh Shahrinnahar Latib
KUANTAN 19 NOVEMBER 2019: Kerajaan Negeri akan memperuntukan sebanyak RM4.8 juta bagi Program Pembangunan Teknologi Maklumat di negeri ini.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, daripada jumlah itu, Kerajaan Negeri memperuntukan tambahan sewaan rangkaian sebanyak RM1.6 juta bagi menghubungkan pejabat-pejabat kerajaan di daerah dan mukim dengan ibu pejabat masing-masing.
“Ini akan menggunakan sambungan rangkaian internet yang lebih baik bagi membolehkan semua penyampaian perkhidmatan dapat dilaksanakan.
“Selain itu, bagi memastikan capaian ini dapat berfungsi dengan baik, pembaharuan lesen-lesen perisian ‘Information and Communications Technology (ICT)’ juga perlu dilaksanakan di mana peruntukan adalah berjumlah RM1.5 juta akan disediakan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada ketika membentangkan Belanjawan Pahang 2020 pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Dewan Negeri Pahang Darul Makmur di sini kelmarin.
Beliau berkata, peruntukan sebanyak RM1.7 juta akan disediakan bagi menaik taraf kapasiti simpanan data di Pusat Data Utama Negeri, naik taraf server di Pusat Pemulihan Bencana (DRC), penggantian infrastruktur ‘switch’ rangkaian di 14 Pejabat Agama Islam Daerah dan 18 buah Sekolah Menengah Agama Negeri serta penggantian kemudahan ICT di kaunter-kaunter kutipan hasil yang telah dikenalpasti.
“Dengan peningkatan kapasiti rangkaian dan penggunaan perisian yang terkini ini, diharapkan penyampaian perkhidmatan agensi-agensi Kerajaan Negeri akan menjadi lebih baik dan produktif,” katanya.