PERUNTUKAN DANA KHAS RM10 JUTA BUKTI KERAJAAN PAHANG AMBIL BERAT PEMBANGUNAN EKONOMI BELIA

Oleh : Ain Nadhirah Basha

KUANTAN, 30 NOVEMBER 2020: Peruntukan dana khas sebanyak RM10 juta kepada usahawan belia dalam Belanjawan 2021 Negeri Pahang membuktikan Kerajaan Pahang mengambil berat pembangunan ekonomi golongan belia di negeri ini.

Pemilik kedai pencetakan Cetak King, Encik Mohd Khairul Azrin Holed, 26, berkata, peruntukan dana usahawan belia ini disambut baik oleh usahawan belia yang ada.

Encik Mohd Khairul Azrin Holed, 26,

“Peruntukan ini diharapkan dapat membantu kami usahawan belia ini meneruskan perniagaan kami yang terjejas akibat wabak COVID-19 ini daripada segi suntikan modal, pemasaran atau keperluan perniagaan yang lain.

“Kerajaan Pahang diharap dapat memperhalusi cara agihan peruntukan ini supaya ia dapat diagihkan lebih menyeluruh. Saya cadangkan Kerajaan Pahang melihat dokumentasi syarikat, pendapatan mereka kebelakangan ini supaya dapat bantu syarikat yang benar-benar terjejas dan memerlukan bantuan,” katanya ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) di sini hari ini.

Sementara itu, peniaga sambal hitam di Serambi Teruntum, Puan Rosmaliza Morad, 35, berkata, pemberian dana kepada usahawan belia ini disifatkan sebagai satu langkah yang sangat baik dari Kerajaan Pahang.

“Amat bagus pemberian dana ini kerana kami (para peniaga) betul-betul terkesan dengan musim COVID-19 ini terutamanya bagi saya, usahawan kecil… Memang sangat memerlukan dana untuk terus aktif membuat produk dan memasarkan jualan kami.

Puan Rosmaliza Morad, 35.

“Tak kiralah bagaimana bentuk dana tersebut disalurkan, sekurang-kurangnya ia dapat membantu usahawan belia di Pahang ini di mana hasil pemberian dana ini boleh menghasilkan ramai usahawan yang berjaya di negeri ini,” katanya.

Menurut Encik Aliff Asyraff, 30, yang berniaga makanan takoyaki, peruntukan dana khas ini diharap dapat menstabilkan ekonomi para peniaga belia yang terjejas.

“Bagus bila Kerajaan Pahang beri bantuan macam ini kerana melalui bantuan ini usahawan dapat gunakan untuk banyak perkara.

Encik Aliff Asyraff, 30.

“Sebagai contoh, peruntukan ini dapat digunakan untuk kembangkan perniagaan dengan buat modal periklanan. Boleh digunakan bayar untuk FB ads, review di Instagram atau iklan di papan iklan kecil tepi jalan, jadi bila ada periklanan, ia secara tidak langsung dapat menarik pelanggan dan membantu meningkatkan jualan.

“Dana ini juga boleh digunakan untuk menambah peralatan kedai, macam saya yang berniaga makanan, bila peralatan bertambah jadi tempoh penyediaan makanan juga jadi singkat dan ini akan tarik pelanggan sebab servis kita laju dan tak perlu pelanggan tunggu lama untuk dapat makanan,” katanya.

Menteri Besar Pahang, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail dalam pembentangan Belanjawan Negeri Pahang 2021 berkata, dana khas ini dijadikan sebagai bantuan awal dan pengembangan perniagaan khusus untuk golongan muda Negeri Pahang dan akan melibatkan lima syarikat GLC dan pihak Majlis Daerah untuk pelaksanaan program ini. -PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

 1,521 total views,  3 views today

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download