Oleh: Muhammad Shahrinnahar Abd. Latib
Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 28 FEBRUARI 2020: Persidangan Belia Dewan Negeri Pahang 2020 menjadi satu platform bagi Kerajaan Negeri untuk memperkenalkan konsep Demokrasi Berparlimen kepada belia di negeri ini.
YB Yang DiPertua Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Haji Ishak Haji Muhamad berkata, pendedahan peringkat awal kepada pemimpin muda ini juga akan memberi kesan baik kepada kerajaan pada masa hadapan.
“Persidangan belia yang dianjurkan ini adalah bagi meningkatkan pengetahuan belia dan membuka peluang perkongsian idea serta aspirasi belia ke arah mewujudkan kesejahteraan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Jamuan Malam Dan Perasmian Persidangan Belia Dewan Negeri Pahang 2020 di Dewan Kediaman Rasmi Menteri Besar Pahang di sini, malam tadi.
Beliau berharap belia yang menyertai dapat menghayati serta memberi kefahaman kepada mereka tentang perundangan dan dasar pentadbiran negara.
“Saya juga harapkan mereka selepas ini akan lebih memahami hal-hal berkaitan konsep Raja Berperlembagaan, Demokrasi Berparlimen dan kedaulatan undang-undang,” katanya.
Seramai 122 belia dari seluruh Negeri Pahang menyertai Persidangan Belia Dewan Negeri Pahang 2020 yang diadakan selama dua hari, bermula semalam di Dewan Negeri Pahang, Wisma Sri Pahang.
Persidangan itu melibatkan peserta berusia 18 hingga 35 tahun terdiri daripada Majlis Belia Negeri Pahang, mahasiswa institusi pengajian tinggi dan pelajar sekolah.
Sepanjang dua hari persidangan itu, para peserta juga dikehendaki membahaskan 10 tajuk yang disediakan merangkumi aspek pembangunan, perundangan, pendidikan, sukan, perpaduan, kebudayaan, keagamaan dan sains teknologi. – PAHANGMEDIA