Antara belia yang terbabit dalam Persidangan Belia Dewan Negeri Pahang 2020.

PERSIDANGAN BELIA PANDUAN KEPADA GOLONGAN MUDA

Oleh: Fansurina Abdullah
Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 28 FEBRUARI 2020: Persidangan Belia Dewan Negeri Pahang 2020 yang berlangsung semalam wajar diteruskan sebagai panduan kepada golongan itu untuk membentuk pemimpin yang hebat pada masa akan datang.

Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Haji Mohd Johari Haji Hussain berkata, persidangan ini boleh dijadikan platform dalam melahirkan barisan pemimpin masa hadapan yang berkaliber dan berwibawa.

“Usaha ini dapat dijayakan sekiranya mereka diberikan peranan dan tugasan yang sebenar untuk digalas supaya mereka dapat menarik lebih ramai belia dan golongan muda ke arah yang betul dalam memajukan negeri ini,” katanya.

YB Dato’ Sri Haji Mohd Johari Haji Hussain.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas membuat penggulungan pada Persidangan Belia Dewan Negeri Pahang 2020 yang berlangsung di Dewan Negeri Pahang, Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.

Tambahnya, golongan belia ini perlu diberikan peluang dan ruang serta dibimbing dengan cara yang betul bagi memastikan mereka dapat memimpin di landasan dan tidak tersasar.

Sementara itu, seorang peserta dari Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Haji Ahmad Shah (KUIPSAS), Asyraf Hakimi Abdul Jalil, 21, berkata, menerusi persidangan belia ini, suara golongan itu dapat didengar dan diketengahkan dari peringkat akar umbi.

Asyraf Hakimi Abdul Jalil.

“Persidangan seumpama ini pastinya memberikan impak yang besar kerana belia merupakan aset kepada negara dan pemimpin pada masa hadapan dan ianya sangat baik jika diadakan setiap tahun,” katanya.

Seorang pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tok Sira, Jaanani Veeran, 19, pula berpendapat persidangan ini perlu dilaksanakan lebih kerap bagi mendedahkan golongan belia dengan perundangan dan dasar negara lebih jelas dan mudah difahami.

Jaanani Veeran.

“Golongan belia merupakan bakal pemimpin dan tokoh negara pada masa akan datang dan wajarlah jika mereka diberikan peluang untuk bersidang dan melontarkan pendapat masing-masing sebagai salah satu usaha membentuk pemimpin dari peringkat awal,” katanya.

Persidangan Belia Dewan Negeri Pahang 2020 itu berlangsung selama dua hari bermula semalam dan disertai 122 belia berusia 18 hingga 35 tahun terdiri daripada Majlis Belia Negeri Pahang, mahasiswa institusi pengajian tinggi dan pelajar sekolah. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download
Please follow and like us:
error