Antara peserta larian Princess Fun Run 2020 Anjuran Persatuan Pandu Puteri Malaysia.

PERSATUAN PANDU PUTERI ANJUR PRINCESS FUN RUN 2020

Oleh: Fansurina Abdullah
Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 1 Mac 2020 – Seramai 1,275 peserta menyertai program Princess Fun Run 2020 anjuran Persatuan Pandu Puteri Malaysia Cawangan Pahang Daerah Kuantan.

Pengerusi Persatuan Pandu Puteri Malaysia Cawangan Pahang Daerah Kuantan, Datin Aminah Jahayah berkata, program yang julung kali diadakan ini mendapat sambutan di luar jangkaan daripada para peserta di seluruh Negeri Pahang.

“Pada asalnya kami hanya membuka pendaftaran untuk 500 peserta tetapi kami melanjutkan tempoh pendaftaran selama seminggu lagi dan mendapati seramai 1,275 peserta telah mendaftar.

“Insyaa Allah kami akan meneruskan program larian seumpama ini pada masa akan datang kerana sambutan luar biasa yang diterima pada kali ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) pada program Princess Fun Run 2020 yang berlangsung di Kompleks Sukan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kuantan, di sini, pagi tadi.

Program larian sejauh 5km itu terbuka kepada semua peringkat umur di antara 7 tahun sehingga 74 tahun.

Seorang peserta berusia 74 tahun, Jimmy Ng Voon Kwang berkata, usia bukan penghalang untuk meneruskan gaya hidup sihat dengan menyertai program larian seumpama ini.

“Saya menyertai program larian untuk mengekalkan kesihatan dan setakat ini saya tidak menghidap apa-apa penyakit selain menjaga pemakanan dan mengambil makanan tambahan,” katanya selepas menamatkan larian sejauh 5km.

Seorang pelajar Sekolah Kebangsaan Sungai Talam, Rose Shahzani Ramli, 9, berkata, dia menyertai program larian Princess Fun Run 2020 bersama ibu, Rosnani Sarkarsi, 43, dan gembira kerana dapat bersama dengan beberapa rakan sekolah dalam aktiviti larian seumpama ini.

Rosnani berkata, dia sering menyertai program larian sama ada bersama keuarga atau pun rakan-rakan bagi mengekalkan stamina dan kesihatan.

“Saya dan rakan-rakan gemar menyertai program larian sebegini dan mereka sering berkongsi maklumat tentang penyertaan sebarang program larian supaya kami tidak ketinggalan untuk menyertainya,” katanya.

Program yang berlangsung bermula jam 7.30 pagi itu berakhir pada jam 12 tengahari selepas selesai majlis penyampaian hadiah dan cabutan bertuah kepada semua peserta. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download
Please follow and like us:
error
error: