Pengerusi PKSBRM yang juga Pengurus SBR Kencana Global, Dato’ Seri Sabariah Haji Hashim (dua dari kanan) ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Tandatangan Usahawan bersama SBR Kencana Global Resources dan PKSBRM di Hotel Sri Manja.

PERNAH SUSAH CETUS IDEA BANTU AHLI UNTUK BERNIAGA

Oleh: Ain Nadhirah Basha
Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 30 NOVEMBER 2020: Pernah hidup susah sebelum ini mencetuskan idea kepada Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Sentiasa Bersama Rakyat Malaysia (PKSBRM) untuk membantu ahlinya menjana pendapatan ekoran pandemik COVID-19 yang melanda.

Pengerusi PKSBRM yang juga Pengurus SBR Kencana Global, Dato’ Seri Sabariah Haji Hashim berkata, idea bantuan ini adalah sebagai usaha meringankan beban ekonomi ahlinya.

“Saya dulu pernah hidup susah, jadi kami perkenalkan usaha dan bantuan ini supaya ahli berpeluang membabitkan diri dalam bidang perniagaan dan mendapat hasil dalam keadaan sekarang.

“Kita faham dalam suasana sukar seperti sekarang, ramai yang hilang punca pendapatan jadi kami perkenalkan usaha ini sebagai peluang dan ruang kepada ahli untuk memulakan perniagaan,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Tandatangan Usahawan bersama SBR Kencana Global Resources dan PKSBRM di Hotel Sri Manja, di sini, hari ini.

Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Sentiasa Bersama Rakyat Malaysia (PKSBRM) yang juga Pengurus SBR Kencana Global, Dato’ Seri Sabariah Haji Hashim.

Beliau berkata, pihaknya juga memberikan bantuan dana perniagaan bernilai RM2,000 setiap seorang kepada 400 ahli PKSBRM melalui SBR Kencana Global Resources sebagai usaha membantu ahlinya menjana pendapatan dengan memulakan perniagaan.

“Kita juga memberikan 1,600 balang kuih kosong kepada kesemua mereka sebagai permulaan untuk mereka memulakan perniagaan makanan jenis biskut bagi peringkat permulaan.

“Balang kosong ini akan mereka (ahli) mengisi biskut buatan mereka sendiri dan kemudiannya kami akan pasarkan biskut tersebut di pasaran tempatan dan luar negara,” katanya.

Sementara itu, Norsuzana Abdullah, 32, daripada FELDA Jengka 5 berkata, bantuan daripada PKSBRM ini sangat membantu perniagaannya yang terjejas akibat wabak ini.

“Saya merasa teruja dengan bantuan dan jalan yang diberikan ini kerana ia secara tidak langsung dapat membantu kami para peniaga kecil ini untuk menambah pendapatan kami yang terjejas dalam keadaan COVID-19 ini.

“Dengan bantuan ini kami tidak lagi perlu memikirkan cara untuk memasarkan produk kami ke pasaran kerana ianya akan diuruskan oleh mereka dan hanya perlu fokus kepada pengeluaran biskut semata-mata,” katanya.

Seorang lagi penerima, Wan Maslinda Haiza Ahmad Mahkotar, 51, dari Kuantan berkata, dana yang diberikan ini akan digunakan untuk meluaskan lagi perniagaan biskut raya miliknya.

“Saya sebelum ini hanya menerima tempahan biskut raya pada musim perayaan sahaja sejak 10 tahun lepas tetapi dengan bantuan seperti ini saya dapatkan meluaskan lagi perniagaan kecil-kecilan saya,” katanya yang akan menjual biskut kelapa dan biskut kacang. -PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

 8,197 total views,  96 views today

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download