Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB. Encik Abd. Rahim Muda (kanan) mengadakan perbincangan bersama Setiausaha Bahagian Perumahan Negeri Pahang, YH. Dato’ Azlan Mat Yaman.

PERMOHONAN RUMAH MAMPU MILIK PAHANG ADA LEBIHAN


Oleh: Ain Nadhirah Basha
Foto: Mahathir Ali

KUANTAN, 14 MEI 2020: Jumlah rumah mampu milik yang ditawarkan oleh Kerajaan Negeri melebihi jumlah permohonan yang diterima setakat ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB. Encik Abd. Rahim Muda berkata Kerajaan Negeri menawarkan hampir 40,000 unit rumah di negeri ini namun permohonan yang diterima adalah kira-kira 37,000 permohonan sahaja.

Beliau berkata Kerajaan Negeri telah meluluskan pembinaan sebanyak 37,612 unit rumah mampu milik jenis PR1MA Pahang dan Rumah Makmur di seluruh negeri ini.

“Setakat ini yang berdaftar dengan perumahan Kerajaan Negeri adalah sebanyak 37,000 permohonan.

“Projek rumah PR1MA Pahang dengan Rumah Makmur Pahang sahaja kita dah berjaya menyediakan sebanyak 37,612 unit. Itu yang projek di bawah Kerajaan Negeri sendiri,” katanya kepada UKOMP ketika ditemui di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Bahagian Perumahan Negeri Pahang, YH. Dato’ Azlan Mat Yaman.

Beliau berkata, perumahan yang diluluskan oleh Kerajaan Negeri ini tidak termasuk beberapa projek di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Perumahan Bantuan Rakyat Pahang.

“Kalau kita jumlahkan semua sekali unit bilangan yang dalam pembinaan dan perancangan ini, kita ada hampir sebanyak 40,000 unit rumah.

“Yang patut Kerajaan Negeri sediakan dengan pemohon yang berdaftar dengan e-perumahan Pahang sebanyak 34,000, jadi sebenarnya kita ada lebihan rumah disediakan untuk rakyat. Ini tidak termasuk lagi rumah-rumah yang dibina oleh pihak swasta,” katanya.

Beliau berkata, sebanyak 109 projek Rumah PR1MA Pahang dan 17 projek Rumah Makmur telah dilaksanakan, dalam perancangan dan akan dibina pada masa akan datang.

“Sebanyak 109 projek Rumah PR1MA Pahang yang menyediakan bilangan unit rumah sebanyak 32,896 unit rumah sedang dalam pembinaan dan perancangan Kerajaan Negeri.

“Bagi Rumah Makmur pula sebanyak 17 projek yang dalam pembinaan dan perancangan dengan 4,806 unit rumah dapat disediakan,” katanya.

Mengulas mengenai Perumahan Bantuan Rakyat Pahang pula, beliau berkata skim perumahan ini diberikan oleh Kerajaan Negeri kepada Ahli Dewan Negeri (ADN) dan Ahli Parlimen di negeri ini.

“Sebanyak 98 unit rumah di bawah skim ini dijangka dilaksanakan pada bulan Jun atau Julai tahun ini di mana setiap ADN akan menerima bantuan bagi membina dua buah rumah di kawasan masing-masing, dan sebuah rumah diberikan bagi Ahli Parlimen untuk dibina.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB. Encik Abd. Rahim Muda.

“Setiap rumah ini akan dibina dengan kos RM50,000 setiap unit dengan keluasan 660 kaki persegi dan akan diberikan secara percuma kepada penduduk yang layak.

“Ini adalah hasil sumbangan kepada Tabung Perumahan Rakyat Pahang yang dirubuhkan tahun lepas di mana daripada jumlah keseluruhan kos ini sebanyak RM40,000 adalah daripda tabung, dan bakinya pula disumbangkan oleh Kerajaan Negeri,” katanya.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya memohon rumah yang disediakan oleh Kerajaan Negeri ini dengan mendaftar di bahagian Perumahan Kerajaan Negeri Pahang.

“Ini selari dengan keperihatinan YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail yang mahu menyediakan perumahan untuk rakyat terutamanya bagi mereka yang berpendapatan rendah.

“Keutamaan Kerajaan Negeri untuk membantu rakyat Pahang sendiri, akan tetapi jika mereka yang bukan rakyat Pahang tetapi menetap di sini dan memenuhi syarat yang ditetapkan tetap akan kita bantu,” katanya.

Mengulas mengenai permohonan yang sudah lama tetapi masih belum diluluskan, beliau berkata ada pelbagai faktor yang menyebabkan berlakunya kelewatan dalam memberi kelulusan.

“Antara faktor adalah rumah yang ditawarkan adalah masih dalam rancangan pembinaan ketika ditawarkan, jadi dari proses pembinaan bermula sehingga selesai, ia akan mengambil masa yang lama.

“Selain itu, faktor kawasan tumpuan. Banyak permohonan yang diterima di kawasan berhampiran bandar seperti Kampung Tiram dan Sungai Soi, sedangkan bagi fasa pertama, hanya beberapa buah rumah sahaja yang dapat dibina. Jadi ini menjadi faktor kepada masalah kelewata ini,” katanya.

Beliau berkata bagi permohonan perumahan, orang ramai boleh melayari laman sesawang eperumahan.pahang.gov.my dan dinasihatkan supaya menyerahkan dokumen berkaitan dalam masa yang ditetapkan.

“Bagi permohonan baru, dokumen yang diminta boleh diberikan ke jabatan perumahan di pejabat daerah masing-masing, tidak perlu yang dari Cameron Highland turun ke Kuantan semata-mata untuk hantar borang.

“Dan bagi permohonan yang melebihi lima tahun, dinasihatkan supaya mengemaskini data permohonan mereka sekiranya masih belum mendapat keputusan,” katanya. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download
Please follow and like us:
error
error: