PERMAISURI AGUNG DOAKAN 16 PEKERJA ISTANA SEGERA SEMBUH

Oleh: Fansurina Abdullah

KUANTAN, 31 Mac 2020 – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Al Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj mendoakan 16 pekerja Istana Negara agar segera sembuh daripada Covid-19.

Dalam satu kenyataan baginda menerusi akaun instagram airtangan_tunkuazizah, baginda bertitah, kesemua ahli keluarga kini sedang menjalani kuarantin dan patuh kepada arahan doktor.

“Saya sekeluarga duduk berasingan di dalam bilik masing-masing dan hanya melambai sesama sendiri dari jauh sahaja.

“Kami juga tidak dibenarkan menerima pelawat, hanya kami sahaja tanpa pelayan dan pengawal peribadi. Kami mencuci dan mengemas bilik sendiri kerana kami berisiko tinggi kerana kami bersama-sama dengan pekerja yang positif Covid-19,” titah baginda.

Titahnya, kesemua anak baginda turut menjalani tempoh kuarantin yang sama dan kesemua mereka memahami tindakan yang dilakukan dan tidak mengeluh demi melindungi mereka daripada dijangkiti Covid-19.

Baginda turut menyatakan rasa syukur kerana beberapa saringan yang telah dilakukan mendapati kesemua ahli keluarga baginda bebas daripada jangkitan Covid-19.

Baginda bersama keluarga akan menamatkan kuarantin pada 9 April depan namun menegaskan bahawa perlu lebih berhati-hati termasuklah pekerja istana bagi memastikan kesemua mereka bebas daripada Covid-19.

“Mari kita semua bekerjasama menghapuskan wabak ini dari terus merebak, duduk di rumah, jangan keluar rumah dan jangan degil, ini tanggungjawab kita semua,” titah baginda. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download
Please follow and like us:
error
error: